
PUTRAJAYA, 23 April – Malaysia dan Filipina sepakat memperkukuh komunikasi berterusan bagi mendepani isu keselamatan tenaga serta menangani cabaran pasaran global yang tidak menentu.
- Pertemuan dua hala antara Menteri Ekonomi Malaysia dan Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina membincangkan isu tenaga.
- Perincian dibentangkan mengenai urus niaga diesel Filipina yang sebelum ini mencetuskan tanda tanya.
- Ditegaskan urus niaga itu adalah transaksi komersial antara syarikat swasta, bukan perjanjian kerajaan ke kerajaan.
- Penjelasan penting untuk elak salah faham, mengekalkan hubungan akrab, serta menegaskan komitmen sokong kerjasama ASEAN hadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Sharon S. Garin, baru-baru ini.
Antara topik utama yang diperincikan termasuk penjelasan mengenai urus niaga diesel oleh pihak Filipina yang sebelum ini mencetuskan tanda tanya.
Beliau menegaskan bahawa urusan tersebut merupakan transaksi komersial sepenuhnya antara syarikat swasta dan tidak melibatkan perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
“Penjelasan ini penting bagi mengelakkan sebarang salah faham, sekali gus mengekalkan hubungan akrab dua hala serta memberi kefahaman jelas kepada pihak berkepentingan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial kementerian tersebut.
Dalam pertemuan sama, kedua-dua negara turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong semangat kerjasama ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia.