
KUALA LUMPUR, 23 April – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terus mengukuhkan dominasinya apabila diiktiraf sebagai Pengawal Selia Terbaik dalam Mempromosikan Kewangan Islam buat tahun ketiga berturut-turut di Anugerah Islamic Finance News (IFN).
- Komitmen tinggi rakan ekosistem dan pemain industri memacu pertumbuhan Pasaran Modal Islam.
- Aset kewangan Islam global kini hampir AS$6 trilion, dijangka meningkat kepada AS$9.7 trilion menjelang 2029, pertumbuhan tahunan 10%.
- Di peringkat domestik, Pasaran Modal Islam berkembang mencecah RM2.7 trilion, menyumbang lebih 60 peratus saiz pasaran modal Malaysia.
- Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 menukar fokus kepada kepimpinan etika, menjadikan Malaysia pusat rujukan kewangan telus dan menangani jurang pendapatan serta perubahan iklim.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar mencerminkan keberkesanan fungsi kawal selia agensi berkenaan, malah membuktikan komitmen tinggi rakan ekosistem dan pemain industri dalam memacu pertumbuhan sektor tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa aset kewangan Islam global kini mencecah hampir AS$6 trilion dan dijangka melonjak kepada AS$9.7 trilion menjelang 2029, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus.
“Di peringkat domestik, Pasaran Modal Islam (ICM) kita telah berkembang mencecah RM2.7 trilion, sekali gus menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan saiz pasaran modal Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah tersebut di sini, semalam.
Mengulas mengenai cabaran semasa, Datuk Mohammad Faiz memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik global kini memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi tempatan, termasuk gangguan rantaian bekalan dan keterjaminan makanan.
Jelas beliau, kenaikan harga bahan api di Malaysia menjadi bukti bahawa tiada ekonomi yang terkecuali daripada impak konflik antarabangsa, terutama melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang menjadi laluan utama minyak dan gas dunia.
“Justeru, kewangan Islam yang menekankan aktiviti ekonomi sebenar dan perkongsian risiko perlu memberikan respons positif terhadap kemelut ini. Agenda ICM SC akan terus berpandukan Maqasid Syariah yang mengutamakan keadilan dan perlindungan golongan rentan,” tambahnya.
Menyentuh perancangan masa depan, Datuk Mohammad Faiz memaklumkan ICM Malaysia akan beralih daripada kepimpinan berpusatkan produk kepada kepimpinan dipacu etika menerusi Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030.
Langkah tersebut bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan global bagi kewangan telus, di samping menangani isu jurang pendapatan, keselamatan pascapersaraan, serta ancaman perubahan iklim bagi tempoh sehingga 2040. – BERNAMA