Asbab bakti kepada ibu, wanita OKU terpilih jejak kaki ke Tanah Suci

Siti Hadijah Abu Bakar (kiri) dan Nur Asma A Samat (kanan) menjadi tetamu Allah untuk musim haji kali ini.

MADINAH, 22 April– Keikhlasan menjaga ibu sehingga akhir hayat meskipun dalam keterbatasan diri sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan menjadi ‘asbab’ buat Siti Hadijah Abu Bakar, 50 tahun, dipilih menjadi tetamu Allah bagi musim haji kali ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siti Hadijah, OKU penglihatan, setia mengurus ibu serta membesarkan lima anak tanpa mengharap balasan.
  • Nur Asma menjadi 'mata dan telinga', mengiringi serta membantu sepanjang ibadah di Tanah Suci.
  • Kisah mereka mengajar bahawa bakti dan persahabatan menjadi inspirasi, membuka jalan meraih rahmat Allah walau diuji.

Wanita yang mesra disapa Kak Jah itu, menyifatkan peluang tersebut sebagai satu rahmat luar biasa dan percaya ia adalah hasil doa ibunya yang tidak pernah putus.

“Saya betul-betul tak sangka boleh sampai ke sini. Ini semua dengan izin Allah,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan dengan enam daripada lapan adik-beradik turut mengalami masalah penglihatan, beliau tetap tekad menjalankan tanggungjawab menjaga ibu serta membesarkan lima cahaya mata tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Kak Jah hanya menjalankan tugas seorang anak yang berkhidmat untuk mak sampai akhir hayat. Kak Jah tidak mahu apa-apa balasan sebab bantu mak, biarlah Allah yang balas,” katanya.

Perjalanan suci Kak Jah dipermudah dengan kehadiran sahabat erat, Nur Asma A Samat, 40 tahun, yang bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ sepanjang mereka berada di Tanah Suci.

Nur Asma, seorang guru besar pusat tahfiz, menyifatkan peluang mengiringi Kak Jah sebagai satu amanah besar dan percaya rayuan hajinya diterima tahun ini kerana keberkatan bakti sahabatnya itu terhadap orang tua.

“Kalau bukan kerana pertolongan dia, mungkin saya tidak sampai ke sini,” kata Nur Asma yang menyifatkan peluang menemani Siti Hadijah sebagai satu ketentuan dan amanah besar daripada Allah SWT.v

Kisah Kak Jah menjadi inspirasi bahawa kemuliaan hati seorang anak yang tidak jemu berbakti mampu membuka jalan buatnya menjadi tetamu-Nya meskipun berdepan pelbagai ujian fizikal.