Kebakaran Sandakan: JPN akan turun padang kemas kini rekod penduduk – PM

Foto: Facebook Anwar Ibrahim

SANDAKAN, 22 April- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digerakkan ke kawasan Kampung Bahagia dan sekitar Batu Sapi di sini bagi melaksanakan pengemaskinian dan pemulihan dokumentasi penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPN akan kemas kini dan susun semula rekod asas penduduk termasuk kelahiran, kematian, MyKid, MyKad dan rekod perkahwinan bukan Islam.
  • Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah akan berbincang pelan pembangunan semula jangka panjang peringkat daerah dan negeri dengan perancangan teliti.
  • Kebakaran memusnahkan kira-kira empat hektar, sekitar 1,000 rumah dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memastikan rekod penduduk dapat disusun semula dengan lebih teratur khususnya melibatkan dokumen asas seperti kelahiran, kematian dan pengenalan diri.

“JPN akan ke sini. Saya telah minta supaya dibincangkan dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) pagi tadi dan wakil JPN akan turun ke sekitar Kampung Bahagia,” katanya.

Menurut beliau, usaha itu turut melibatkan semakan semula rekod sedia ada bagi memastikan data penduduk direkodkan dengan lebih lengkap dan sistematik.

“Kita ada rekod dan tidak ada kebimbangan kerana semua dalam sistem. Kita akan pastikan sejarah kelahiran, MyKid, MyKad, sejarah kematian dan perkahwinan termasuk bagi bukan Islam akan kita susun semula dan sediakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan membincangkan secara menyeluruh pelan pembangunan semula jangka panjang bagi kawasan berkenaan yang musnah terbakar pada Ahad.

“Semua ini harus dibincang di peringkat daerah dan negeri. Projek ini agak besar dan memerlukan perancangan yang teliti,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meninjau kawasan kebakaran yang memusnahkan kira-kira empat hektar penempatan melibatkan sekitar 1,000 rumah serta menjejaskan lebih 9,000 penduduk.

Beliau turut meluangkan masa menyantuni mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, di sini.

Turut serta, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.