
PUTRAJAYA, 22 April – 150 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah sekitar Putrajaya bakal menerima manfaat kelas tuisyen percuma menerusi Program Tuition Mission Putrajaya 2026 (TMP 2026).
- Inisiatif Perbadanan Putrajaya menyasar merapatkan jurang pendidikan dan memberi peluang sama rata kepada pelajar kurang berkemampuan.
- Program tuisyen percuma membuktikan keberkesanan; gred cemerlang dan kadar lulus peserta meningkat pada tahun sebelumnya.
- Sasaran tahun ini ialah 100 peratus lulus SPM, setiap pelajar sekurang-kurangnya gred C, dengan 20 guru fokus empat subjek utama.
Ia merupakan inisiatif strategik oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) yang dilihat mampu merapatkan jurang pendidikan dan membuka ruang kejayaan lebih luas kepada generasi muda.
Program yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh itu mendapat sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP).
Jelasnya, pendidikan bukan sekadar keputusan peperiksaan, sebaliknya jalan keluar daripada kemiskinan, cabaran hidup dan ketidaksamaan sosial.
“Pelajar kurang berkemampuan berisiko ketinggalan berbanding rakan yang mampu mengikuti tuisyen. Oleh itu, Perbadanan Putrajaya menyediakan program ini agar mereka mendapat peluang sama rata untuk bersaing dan meraih keputusan cemerlang.” katanya selepas Majlis Perasmian TMP 2026 di sini hari ini.
TMP sebelum ini telah membuktikan keberkesanannya dengan keputusan SPM 2025 menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam kalangan peserta program apabila empat pelajar berjaya memperoleh 9A dan seorang memperoleh 8A.
Jumlah gred cemerlang pula meningkat 23 peratus kepada 161 calon berbanding 138 calon pada tahun sebelumnya.
Selain itu, kadar kelulusan keseluruhan meningkat sebanyak 8.3 peratus dan kesemua peserta TMP 2025 juga layak menerima sijil SPM.
Pada tahun ini, 20 orang guru berpengalaman dilantik sebagai tenaga pengajar dan pembimbing.
Mereka akan memberi tumpuan kepada empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,Matematik dan Sejarah.
TMP 2026 menyasarkan 100 peratus kelulusan SPM dalam kalangan peserta, selain memastikan setiap pelajar memperoleh sekurang-kurangnya gred C bagi semua subjek.