ZK Racing, rakan strategik pembangunan MotoMini di China

Foto FB ZK Racing

KUALA LUMPUR, 24 April– Pasukan ZK Racing melakar pencapaian membanggakan apabila dilantik sebagai rakan strategik oleh Guangzhou Conghua International Circuit (GCIC) bagi menerajui pembangunan MotoMini di China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama menaik taraf penganjuran FIM MotoMini China, menjadikan model pembangunan MotoMini Malaysia rujukan utama bagi operasi teknikal dan pengurusan acara.
  • ZK Racing dilantik perunding penganjuran OHVALE Guangzhou Cup, dijangka menghimpunkan lebih 100 pelumba Asia dan memperkukuh pengalaman acara.
  • Pengiktirafan GCIC susulan lawatan dan penilaian struktur MotoMini Malaysia membuka ruang pertukaran ilmu serta peningkatan standard penganjuran serantau.

ZK Racing dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama itu merangkumi usaha menaik taraf penganjuran FIM MotoMini China, khususnya dalam aspek operasi teknikal dan pengurusan acara dengan menjadikan model pembangunan MotoMini Malaysia sebagai rujukan utama.

Pelantikan tersebut merupakan sebuah pengiktirafan terhadap rekod cemerlang ZK Racing yang menjadi penggerak utama program akar umbi FIM MiniGP Malaysia sejak 2020, sehingga berjaya melahirkan bakat antarabangsa seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan.

Sebagai sebahagian daripada pengisian kerjasama, ZK Racing turut dilantik sebagai perunding bagi penganjuran OHVALE Guangzhou Cup pada Ogos ini, yang dijangka menghimpunkan lebih 100 pelumba dari rantau Asia.

MotoMini China yang diperkenalkan pada 2024 menunjukkan perkembangan pesat dengan menjadikan Malaysia sebagai penanda aras dalam pembangunan program.

Sementara itu, pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin berkata pengiktirafan tersebut hadir selepas pihak GCIC menilai sendiri keupayaan program pembangunan akar umbi di Malaysia.

“GCIC melihat sendiri bagaimana MotoMini Malaysia berfungsi sebagai platform yang kompetitif dan tersusun. Malah, kehadiran pelumba dari China dalam saingan di Malaysia sebelum ini memberi peluang kepada mereka menilai sendiri standard penganjuran yang kita miliki.”

“Mac lalu, pihak GCIC telah mengadakan lawatan ke pejabat kami untuk melihat lebih dekat struktur operasi dan model pembangunan yang dijalankan, dan dari situ lahir keyakinan untuk menjalinkan kerjasama ini,” katanya.

Zulfahmi turut menzahirkan rasa bangga apabila ekosistem pembangunan pelumba muda negara kini mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Kerjasama strategik itu bukan sahaja mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran teknikal Malaysia, malah membuka ruang pertukaran ilmu bagi meningkatkan standard penganjuran sukan permotoran di peringkat serantau.