Iran persoal tempoh persiapan singkat menjelang aksi menentang Belgium

Amir Ghalenoei, Ketua jurulatih Iran / REUTERS

INGLEWOOD, 21 Jun– Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei mempersoalkan tempoh persiapan yang diberikan kepada pasukannya menjelang aksi Kumpulan G Piala Dunia menentang Belgium.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad Iran hanya diberi kurang daripada 16 jam persiapan, menyebabkan sesi latihan dipendekkan dan perancangan terganggu.
  • Layanan berbeza pada urusan perjalanan dan visa, termasuk larangan tiba lebih awal, menimbulkan ketidakpuasan pasukan.
  • Walaupun menghargai bantuan FIFA, Infantino dan pihak berkuasa AS, jurulatih tegaskan masa persiapan singkat menjejaskan prestasi.

Menurut beliau, skuad Iran hanya mempunyai kurang daripada 16 jam untuk membuat persiapan selepas tiba di lokasi perlawanan sehingga memaksa sesi latihan dipendekkan.

“Kami tidak membantah, cuma menyuarakan rasa tidak puas hati. Untuk perlawanan sebelum ini kami mempunyai sekurang-kurangnya 24 jam sebelum perlawanan.

Bagaimanapun, kali ini kami diberikan kurang daripada 16 jam sehingga latihan terbatas,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut beliau, keadaan itu lebih mencabar berbanding aksi pembukaan menentang New Zealand apabila pasukan mempunyai tempoh persiapan yang lebih panjang.

Amir turut mempersoalkan layanan berbeza yang diterima pasukannya berkaitan urusan perjalanan dan persiapan sepanjang kejohanan.

“Jika mereka boleh memberikan pilihan itu untuk perlawanan ketiga, mengapa visa kami tidak dikeluarkan lebih awal?

Mengapa kami tidak dibenarkan tiba dua minggu lebih awal sebelum perlawanan pertama untuk menyesuaikan diri?” katanya.

Iran sebelum ini berpangkalan di Tijuana, Mexico dan berulang-alik ke Amerika Syarikat bagi mengharungi saingan Kumpulan G susulan sekatan tertentu berkaitan penginapan pasukan itu.

Bagaimanapun, beliau menghargai usaha FIFA dan Presidennya, Gianni Infantino yang cuba membantu mengurangkan kesulitan dihadapi skuad Iran.

Amir turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat yang memudahkan urusan ketibaan pasukan, namun menegaskan masa persiapan yang singkat tetap menjejaskan perancangan mereka.

Mengulas pertemuan dengan Belgium, beliau mengakui lawan mereka memiliki kekuatan tersendiri serta mendapat tempoh persiapan yang lebih baik.

“Belgium ialah pasukan yang kuat dan dihormati. Namun apabila wisel ditiup, kami juga mempunyai perancangan sendiri serta pemain berkualiti yang mampu beraksi pada tahap terbaik,” katanya.

Iran akan berdepan Belgium dalam aksi kedua Kumpulan G selepas seri 2-2 dengan New Zealand pada perlawanan pembukaan. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.