
PETALING JAYA, 21 Jun – Jaguh tenpin boling negara, Muhammad Rafiq Ismail terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya merangkul gelaran juara dalam pusingan akhir Master Divisiyen Terbuka Campuran, Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIO) 2026 disini hari ini.
- Rafiq melakar kejuaraan hatrik selepas menjuarai Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura, menambah satu lagi trofi penting dalam kariernya.
- Beliau merekodkan 2,020 mata dalam lapan pusingan, menewaskan Tun Hakim (1,918) dan Megat Zaqrul (1,915).
- Kemenangan itu menjadi pengubat selepas rumah dipecah masuk, dan Rafiq akan ke sesi pemilihan Hong Kong untuk persiapan Kejohanan Asia dan Piala Dunia.
Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 29 tahun itu melakar kejuaraan hatrik selepas turut mendominasi saingan Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura baru-baru ini.
Rafiq mengesahkan kejuaraan mutlak selepas melakukan jatuhan pin keseluruhan sebanyak 2,020 mata menerusi lapan pusingan.
Beliau berjaya mengetepikan cabaran rakan sepasukan,Tun Hakim yang menduduki tempat kedua (1,918 pin), manakala Megat Zaqrul Haiqal daripada FND Empire di tempat ketiga (1,915 pin).
“Kemenangan tiga kejohanan berturut-turut dalam tempoh sebulan ini adalah antara memori paling manis dalam karier saya.
“Saya sangat bersyukur atas sokongan keluarga, isteri, MTBC, MSN, ISN, MBPJ serta para penaja yang menjadi tulang belakang selama ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawan di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid
Dalam pada itu, Rafiq mendedahkan kemenengan berkenaan sedikit sebanyak menjadi pengubat duka dan semangat dirinya selepas kediamannya dipecah masuk perompak baru-baru ini dan menyebabkan kerugian kira-kira RM60,000.
“Sejujurnya, insiden rompakan itu menyebabkan beberapa barang berharga milik isteri hilang. Namun, musibah itu menjadi motivasi luar biasa untuk saya menang hari ini bagi membantu semula isteri yang banyak berkorban,” jelasnya lagi.
Selepas ini, Rafiq dijadualkan menyertai sesi pemilihan ke Hong Kong minggu ini sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan besar, iaitu Kejohanan Asia dan Piala Dunia pada penghujung tahun.