
SYDNEY, 10 Januari – Belinda Bencic muncul wira Switzerland apabila memimpin pasukannya mara ke final kejohanan tenis Piala United buat kali pertama selepas menewaskan Belgium dalam aksi separuh akhir yang sengit, hari ini.
- Bencic menewaskan Elise Mertens dalam perlawanan perseorangan wanita, mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam kejohanan.
- Pasangan beregu campuran Bencic dan Jakub Paul menang 6-3, 0-6, 10-5 menentang Mertens dan Zizou Bergs.
- Kemenangan ditentukan melalui tie-break dramatik selepas Switzerland memenangi lima mata berturut-turut.
- Perlawanan diwarnai cuaca panas hampir 40 darjah Celsius, menyebabkan penganjur mengubah jadual final.
Pemain Switzerland itu terlebih dahulu memastikan kemenangan dalam perlawanan perseorangan wanita apabila menundukkan Elise Mertens 6-3, 4-6, 7-6(0), sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam kejohanan berpasukan campuran tersebut.
Penentuan perlawanan kemudian ditentukan menerusi aksi beregu campuran, di mana Bencic bergandingan bersama Jakub Paul untuk mencatat kemenangan 6-3, 0-6, 10-5 ke atas pasangan Belgium, Mertens dan Zizou Bergs, dalam tempoh satu jam 17 minit.
Pasangan Switzerland bermula cemerlang sebelum kehilangan momentum pada set kedua, namun bangkit semula dalam penentuan tie-break apabila memenangi lima mata berturut-turut untuk mendahului 9-4, sebelum memastikan kemenangan.
Perlawanan berlangsung dalam keadaan mencabar susulan cuaca panas melampau, dengan suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius, sehingga pihak penganjur memutuskan untuk mengubah jadual final.
Dalam perlawanan perseorangan lelaki sebelum itu, Bergs memenangi pertarungan hampir dua setengah jam menentang bekas juara Grand Slam tiga kali, Stan Wawrinka, 6-3, 6-7(4), 6-3.
Bencic, bekas pemenang pingat emas Olimpik kini mencatat kemenangan dalam kesemua empat perlawanan perseorangan dan empat aksi beregu campuran yang disertainya sepanjang Piala United.
Switzerland dijadualkan bertemu pemenang satu lagi separuh akhir antara juara bertahan Amerika Syarikat dan pasukan Poland di perlawanan akhir, esok. -REUTERS