BAM perlu lebih RM55 juta setahun

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Axiata Arena di sini, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menganggarkan perbelanjaan tahunan melebihi RM55 juta diperlukan bagi memastikan kelangsungan pembangunan badminton negara merangkumi kebajikan pemain, imbuhan jurulatih serta penyertaan dan penganjuran kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM perlukan lebih RM55 juta setahun untuk menampung operasi, pembangunan dan kebajikan pemain serta jurulatih.
  • Perbelanjaan penyertaan kejohanan meningkat dan menjadi komponen besar kos tahunan organisasi.
  • BAM perkuat penjenamaan dan pemasaran untuk jana pendapatan tambahan dan tarik sokongan penaja korporat.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kos berkenaan sebahagian besarnya melibatkan imbuhan pemain dan jurulatih, selain perbelanjaan penyertaan kejohanan yang semakin meningkat saban tahun.

“Untuk menampung keseluruhan operasi dan pembangunan, BAM memerlukan sekitar RM55 juta setahun. Perbelanjaan terbesar melibatkan imbuhan pemain dan jurulatih serta penyertaan kejohanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis BAM di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Menurut BAM, bagi tempoh 11 bulan pertama tahun lalu sahaja, perbelanjaan organisasi hampir mencecah RM54 juta, sekali gus mencerminkan keperluan kewangan yang tinggi dalam mengekalkan prestasi dan daya saing di peringkat antarabangsa.

Mengulas soal penajaan, Tengku Zafrul berkata BAM sedang memperkukuh aspek penjenamaan dan pemasaran bagi menarik lebih banyak sokongan korporat menerusi Jawatankuasa Penjenamaan dan Pemasaran yang dipengerusikan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.

“Keutamaan kami adalah memastikan kewangan kekal mampan. Sebab itu, BAM perlu memperkukuh penjenamaan dan aset komersial bagi menjana pendapatan tambahan dan menarik lebih banyak sokongan penaja,” katanya.

BAM kini giat menilai semula strategi kewangan dan komersial bagi memastikan pelaburan besar yang dibuat memberi pulangan jangka panjang kepada pembangunan badminton negara.