Kostyuk mara ke final Brisbane International, cabar Sabalenka

Pemain tenis Ukraine, Marta Kostyuk/ REUTERS

BRISBANE, 10 Januari – Pemain Ukraine, Marta Kostyuk meneruskan aksi cemerlangnya di Brisbane International apabila menewaskan pilihan keempat dari Amerika Syarikat, Jessica Pegula untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan pemanas badan Terbuka Australia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Marta Kostyuk teruskan rentak cemerlang, tumbangkan Jessica Pegula 6-0, 6-3 untuk mara ke final Brisbane International.
  • Kostyuk menyingkirkan beberapa pilihan tinggi sebelum ini, termasuk Amanda Anisimova dan Mirra Andreeva.
  • Aryna Sabalenka, pilihan utama dan pemain nombor satu dunia, akan menjadi lawan Kostyuk di final esok.

Kostyuk hanya memerlukan kurang satu jam untuk mencatat kemenangan straight set 6-0, 6-3 ke atas Pegula, sekali gus meneruskan rentetan kejutan selepas sebelum ini menyingkirkan pilihan kedua, Amanda Anisimova dan pilihan keenam, Mirra Andreeva.

Pemain berusia 21 tahun itu dijadualkan bertemu pilihan utama dari Belarus, Aryna Sabalenka dalam perlawanan akhir, esok.

Sabalenka sebelum itu memastikan tempat ke final ketiganya berturut-turut di Brisbane selepas menewaskan pemain Republik Czech, Karolina Muchova, 6-3, 6-4.

Pemain tenis nombor satu dunia dari Belarus, Aryna Sabalenka/ REUTERS

Pemain nombor satu dunia itu menampilkan prestasi meyakinkan dalam kejohanan pertamanya tahun ini, termasuk kemenangan straight set ke atas juara bertahan Terbuka Australia, Madison Keys pada pusingan sebelumnya.

Meskipun dijangka berdepan cabaran lebih sukar daripada Muchova, yang memiliki rekod pertemuan lebih baik, Sabalenka menguasai perlawanan dengan aksi konsisten dari garis belakang gelanggang dan memastikan kemenangan dengan mematahkan servis lawan pada set kedua.

Juara Grand Slam empat kali itu kini memburu gelaran ketiganya di Terbuka Australia yang akan bermula pada 18 Januari ini di Melbourne Park. -REUTERS