Hari Sukan Negara 2026: Rakyat diajak ke Bukit Jalil, semarak budaya sukan

Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 8 Oktober — Pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi utama sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 mempunyai nilai simbolik menjelang Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aspek akses diambil kira bagi memudahkan orang ramai hadir dan memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara.
  • Sambutan HSN tidak seharusnya hanya acara tahunan, sebaliknya pemangkin menjadikan aktiviti fizikal rutin harian.
  • Matlamatnya melahirkan generasi sihat, kuat bersukan dan lebih aktif selepas sambutan HSN.
  • HSN 2026 membawa tema Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI); sambutan peringkat kebangsaan berlangsung 9 hingga 11 Oktober.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pemilihan stadium itu menyemarakkan semangat bersukan dalam kalangan rakyat selain menggalakkan mereka hadir ke venue sukan.

“Stadium Nasional Bukit Jalil ini menjadi satu simbolik kepada sukan itu sendiri sebab kita menjelang Sukan SEA 2027, yang mana kita akan menjadi tuan rumah dan akan disaksikan oleh seluruh dunia,” katanya kepada RTM di Wisma Berita Angkasapuri Kota Media hari ini.

Menurutnya, aspek akses turut diambil kira dalam pemilihan lokasi itu bagi memudahkan orang ramai hadir dan bersama-sama memeriahkan sambutan HSN.

Dr Mohammed Taufiq berkata sambutan HSN tidak seharusnya menjadi acara tahunan semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada rakyat untuk menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.

“Bukan hanya ketika Hari Sukan Negara, tetapi selepas Hari Sukan Negara kita mahu lahirkan generasi yang sihat, generasi yang kuat bersukan dan generasi yang lebih aktif,” katanya.

HSN 2026 membawa tema Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI), dengan sambutan peringkat kebangsaan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 hingga 11 Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.