
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyediakan pelaburan berjumlah RM450 juta bagi menyokong pembangunan syarikat pemula niaga.
- Dana NIMP, Dana Pemacu KWAP dan MTC Khazanah berjumlah RM2.1 bilion untuk memperkukuh syarikat pertengahan dalam E&E, digital, aeroangkasa dan peranti perubatan.
- Sebanyak RM270 juta disediakan untuk menarik modal swasta melalui platform ECF dan P2P bagi menyokong PKS, syarikat pertengahan dan perusahaan sosial.
- Pengecualian cukai pendapatan dilanjutkan kepada pelabur individu melalui ECF dan pelabur pemangkin sehingga 31 Dis 2030.
- RM41 juta diperuntukkan kepada Cradle Fund untuk melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Niaga, geran prototaip dan pengkomersialan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dana Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Dana Pemacu KWAP dan Dana Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia (MTC) Khazanah yang keseluruhannya berjumlah RM2.1 bilion, turut dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan syarikat peringkat pertengahan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.
“Bagi menarik modal swasta menerusi platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P), sebanyak RM270 juta disediakan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat peringkat pertengahan serta perusahaan sosial.
“Pengecualian cukai pendapatan dilanjutkan kepada pelabur individu menerusi platform ECF serta pelabur pemangkin yang membiayai syarikat pemula niaga teknologi peringkat awal sehingga 31 Dis 2030.
“Sebanyak RM41 juta diperuntukkan kepada Cradle Fund Sdn Bhd bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Niaga, selain menyediakan geran pembangunan prototaip dan pengkomersialan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.