
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Lebih RM130 juta diperuntukkan bagi memperkukuh industri kreatif tempatan merangkumi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif, termasuk insentif tambahan kepada karya yang menampilkan budaya serta identiti kebangsaan.
- Peruntukan bertujuan memperluas peluang pekerjaan, memperkukuh industri dan mempromosi karya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
- Insentif disediakan untuk produksi filem dan animasi tempatan serta produksi antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia.
- Insentif tambahan diberikan kepada karya yang menonjolkan budaya dan identiti kebangsaan.
- Tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan dikecualikan sepenuhnya daripada duti hiburan mulai 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu bertujuan memperluas peluang pekerjaan, memperkukuh industri tempatan dan membawa karya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Industri karya kreatif terus diperkasa bagi mengangkat citra negara, mencipta pekerjaan dan membawa kisah Malaysia ke pentas dunia.
“Insentif turut disediakan kepada produksi filem dan animasi tempatan serta produksi antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia,” menurut Perdana Menteri dalam pemventangan Belanjawan 2027 di sini, hari ini.
Kerajaan juga akan memberikan insentif tambahan kepada karya yang mengetengahkan budaya dan kenegaraan, manakala tiket filem serta persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan akan dikecualikan sepenuhnya daripada duti hiburan mulai 2027.
Dalam pada itu, ekosistem animasi tempatan akan diperkukuh bagi melahirkan 20 harta intelek baharu dan mengkomersialkan watak Malaysia di peringkat global.
Usaha itu dijangka memperluas potensi kandungan kreatif tempatan sebagai produk komersial, di samping meningkatkan keterlihatan budaya Malaysia di pasaran antarabangsa.