Sembilan fasiliti kesihatan baharu akan dibina

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan akan membina sembilan fasiliti kesihatan baharu di seluruh negara dalam usaha meningkatkan akses dan mutu perkhidmatan kesihatan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek: Kompleks Klinik Pakar dan Pusat Rawatan Harian Hospital Sultanah Aminah; Pusat Pakar Pergigian Kuching; Kompleks Kesihatan Bersepadu Gerik dan Rembau.
  • Peruntukan RM1.2 bilion untuk penyelenggaraan dan baik pulih prasarana hospital serta menaik taraf klinik daif.
  • Lebih RM770 juta diperuntukkan untuk peralatan perubatan moden, naik taraf hemodialisis dan pembelian 400 ambulans KKM.
  • Hospital Pakar USM akan dilengkapi teknologi pembedahan robotik; 18 institut latihan KKM terima peralatan simulasi untuk 20,000 pelatih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek yang dirancang ialah Kompleks Klinik Pakar dan Pusat Rawatan Harian di Hospital Sultanah Aminah, Johor dan Pusat Pakar Pergigian di Kuching, Sarawak.

“Selain itu, Kompleks Kesihatan Bersepadu di Gerik, Perak serta Kompleks Kesihatan Bersepadu di Rembau, Negeri Sembilan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM1.2 bilion bagi menyelenggara dan membaik pulih prasarana hospital serta klinik awam, termasuk menaik taraf klinik daif yang masih berbaki.

“Bagi mempercepat proses diagnosis dan rawatan pesakit, lebih RM770 juta turut diperuntukkan untuk memperoleh peralatan perubatan canggih dan moden.

“Langkah itu termasuk menaik taraf kemudahan hemodialisis di hospital seluruh negara serta memperoleh 400 ambulans baharu untuk hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempercepat tindak balas kecemasan,” katanya.

Selain itu, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) akan dilengkapi teknologi pembedahan robotik bagi memperluas akses rawatan kepada pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung.

Sebanyak 18 Institut Latihan KKM pula akan menerima peralatan simulasi klinikal dan makmal sains asas bagi meningkatkan kemahiran lebih 20,000 pelatih serta petugas perubatan dan paramedik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.