
BANGKOK, 13 Oktober – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengeluarkan amaran berhubung peningkatan risiko mendadak yang dihadapi oleh sistem kewangan global, dengan potensi bahaya merangkumi kemungkinan penyelarasan pasaran berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta ancaman siber yang boleh membawa implikasi buruk.
- IMF amaran risiko penyelarasan pasaran berkaitan AI yang boleh mencetuskan pengetatan syarat kewangan dan pergolakan pasaran.
- Pelaburan AI mungkin kurang mampan atau pulangan lebih rendah, menimbulkan kejutan ekonomi dan penyelarasan pasaran.
- Ancaman siber serius terhadap infrastruktur kewangan boleh menggugat keyakinan pasaran dan mengganggu operasi serta sistem kritikal.
Mesej berwaspada itu disampaikan menerusi Laporan Kestabilan Kewangan Global (Global Financial Stability Report) terbaharu terbitan IMF, yang dikeluarkan pada hari kedua perhimpunan tahunannya bersama Bank Dunia di sini.
“Risiko ini merupakan pemangkin jangka pendek yang munasabah untuk mencetuskan syarat kewangan ketat secara mendadak serta pergolakan pasaran,” menurut laporan berkenaan.
Kehangatan pelaburan AI merangkumi perlumbaan menghasilkan semikonduktor serta pembinaan pusat data telah mendorong kepada pertumbuhan ekonomi global di sebalik tekanan geopolitik seperti peperangan di Asia Barat.
Bagaimanapun, IMF memberi amaran bahawa bukti yang semakin meningkat menunjukkan keupayaan AI sebenarnya boleh dicapai dengan tahap pelaburan yang lebih rendah atau pulangan ekonomi mungkin tidak sebesar yang dijangkakan.
“Pelaburan serta tahap keuntungan AI yang semakin lemah atau kurang mampan boleh menjadi kejutan yang mencetuskan penyelarasan pasaran,” jelas IMF.
Di samping menjadi pemacu ekonomi, IMF menyatakan teknologi AI turut membawa risiko keselamatan yang belum pernah terjadi sebelum ini.
“Insiden siber yang serius boleh menjejaskan keyakinan pasaran serta mengganggu operasi dan infrastruktur kritikal pasaran kewangan,” kata institusi berkenaan.- AFP