BMW-i pertama negara, dimensi baharu kemudahan tandas pintar

KPKT sasar setiap ibu negeri memiliki sekurang-kurangnya satu tandas pintar BMW-i 

PUTRAJAYA, 13 Oktober – Inisiatif Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW-i) yang menggabungkan teknologi pintar diperkenal, seiring usaha kerajaan memperkasa kemudahan awam bertujuan meningkatkan kebersihan dan keselesaan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian menyasarkan setiap ibu negeri memiliki sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar BMW-i, kos pembinaan tidak melebihi RM1 juta.
  • Tandas dilengkapi sistem automasi berasaskan sensor termasuk pewangi automatik, pengering lantai dan teknologi merekod jumlah pengguna.
  • Sejak 2023, KPKT dan rakan usaha bina serta naik taraf 11,835 tandas; TOTYA diperkasa dengan penyertaan meningkat kepada 849.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kementerian menyasarkan setiap ibu negeri di seluruh negara memiliki sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar BMW-i sebagai penanda aras baharu kemudahan tandas awam, dengan kos pembinaan tidak melebihi RM1 juta sebuah.

“Projek dimulakan di Putrajaya sebelum diperluas ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke ibu negeri lain termasuk Ipoh, George Town, Kuching, Kota Kinabalu serta Johor Bahru,”katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian BMW-i pertama di Malaysia di Dataran Putra, di sini.

Tandas berkenaan dilengkapi sistem automasi berasaskan sensor termasuk pengeluaran pewangi apabila mengesan bau, sistem pengeringan lantai serta teknologi merekodkan jumlah pengguna.

Dalam perkembangan berkaitan, KPKT dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Putrajaya berjaya membina serta menaik taraf 11,835 tandas awam di seluruh negara mengikut standard (BMW) sejak 2023.

Bagi memperluas pelaksanaan inisiatif itu, tandas BMW-i seterusnya dirancang di Putrajaya dan Kuala Lumpur sebelum diperluas ke ibu negeri terpilih sebagai model rujukan kepada PBT.

Sementara itu, penganjuran Majlis Anugerah Tandas Terbaik (TOTYA) terus diperkasa bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan pengurusan tandas awam yang lebih bersih dan berkualiti.

Edisi keempat anugerah itu dijadual berlangsung pada 20 Oktober ini, melibatkan lapan kategori dengan hadiah wang tunai RM20,000 bagi setiap pemenang kategori.

Jumlah penyertaan tahun ini meningkat daripada 345 kepada 849 penyertaan, mencerminkan sambutan yang semakin menggalakkan terhadap usaha membudayakan kebersihan tandas.

Beliau turut menyeru agar masyarakat memainkan peranan menjaga kebersihan kerana tandas yang bersih mencerminkan imej negara serta meningkatkan keyakinan pelancong terhadap Malaysia, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.