
KUALA LUMPUR, 5 November – Kepercayaan awam menjadi faktor penentu kredibiliti media arus perdana termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam mendepani ancaman maklumat palsu, ledakan media sosial dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
- Bina semula keyakinan masyarakat dengan kembali kepada asas dan punca sebenar sesuatu isu.
- Hasilkan kandungan yang menarik serta sahih untuk menangkap perhatian audiens yang singkat tanpa mengorbankan kredibiliti.
- Kembangkan kerjasama merentasi kerajaan, perbankan, akademia dan masyarakat sivil serta gunakan pendekatan kreatif berasaskan hubungan manusiawi.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, dalam persekitaran maklumat yang semakin kompleks, cabaran utama media bukan sekadar menyampaikan berita, sebaliknya membina semula keyakinan masyarakat terhadap maklumat yang disalurkan.
Menurut beliau, kemunculan media sosial sejak 15 tahun lepas membuka pelbagai peluang kepada industri media, namun pada masa sama meningkatkan risiko penyebaran maklumat palsu yang kini semakin mencabar dengan kemunculan teknologi AI.
“Bagaimana kita membina kepercayaan, mengembalikan keyakinan dan menangani ketidakpercayaan masyarakat ketika ini? Tiada formula khusus, sebaliknya kita perlu kembali kepada asas dan punca sebenar sesuatu isu,” katanya ketika menjadi panel sesi dialog bertajuk Public Impact and Nation Building, World Marketing Summit 2026 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Beliau berkata, cabaran itu turut dipengaruhi perubahan tingkah laku pengguna, sekali gus menuntut media menghasilkan kandungan yang mampu menarik perhatian dalam masa singkat tanpa mengabaikan kredibiliti.
“Purata tempoh membaca kini menurun kepada sekitar 21 saat, manakala tempoh menonton kandungan video pula hanya sekitar 10 saat.
“Jika kita gagal menarik perhatian masyarakat dalam tiga saat pertama, mereka akan beralih kepada kandungan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Ashwad menegaskan, institusi penyiaran awam seperti RTM tidak boleh bergerak secara bersendirian dalam menangani penularan maklumat palsu, sebaliknya perlu memperluas kerjasama dengan kerajaan, sektor perbankan, agensi, institusi akademik dan pertubuhan masyarakat sivil.
Pendekatan meningkatkan kesedaran dan menerangkan sesuatu isu kepada masyarakat juga perlu disampaikan secara lebih kreatif bagi memastikan mesej dapat difahami serta membina hubungan yang lebih bermakna dengan masyarakat.
Katanya, dalam landskap media yang semakin kompetitif, keupayaan membina hubungan manusiawi melalui perbualan dan kandungan bermakna turut menjadi elemen penting bagi memastikan media terus relevan dan dipercayai.