
PUTRAJAYA, 5 November – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah terjejas, menerusi pengaktifan strategi Op Payung bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
- KPM membuka bilik gerakan banjir untuk mengumpul maklumat serta memantau perkembangan dan trend kejadian banjir.
- Penyelarasan dijalankan bersama APM, PDRM dan ATM serta jabatan pendidikan negeri, PPD dan sekolah untuk meningkatkan kesiapsiagaan.
- Calon SPM yang berisiko banjir ditempatkan di asrama supaya kehadiran ke pusat peperiksaan tidak terjejas.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, KPM turut mengarahkan pembukaan bilik gerakan banjir bagi mengumpul maklumat serta memantau perkembangan dan trend kejadian banjir dari semasa ke semasa.
Menurutnya, persediaan itu dilaksanakan menerusi penyelarasan bersama pelbagai agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, perubahan iklim menyebabkan risiko banjir kini turut melibatkan lokasi yang sebelum ini tidak pernah dilaporkan mengalami bencana berkenaan, sekali gus memerlukan KPM meningkatkan tahap kesiapsiagaan.
“Di peringkat KPM, saya telah arahkan untuk membuka bilik gerakan banjir. Daripada sini, kita akan kumpul maklumat, lihat trend tentang banjir ini dan kita sentiasa mengingatkan di peringkat negeri sampai ke peringkat daerah dan juga di sekolah-sekolah.
“Insya-Allah, kita dapat memastikan anak-anak kita menduduki SPM tahun 2026 ini dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan Kejohanan Program Pembangunan Bakat Badminton KPM-Perodua Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Mohd Azam berkata, KPM akan meneruskan inisiatif menempatkan calon SPM yang tinggal di kawasan berisiko banjir atau berkemungkinan terputus hubungan ke asrama sekolah bagi memastikan kehadiran mereka ke pusat peperiksaan tidak terjejas.
Menurutnya, langkah itu mula dilaksanakan tahun lalu selepas KPM mengenal pasti lokasi kediaman calon serta laluan yang berpotensi dinaiki air.
“Dari tahun lepas kita sudah mula ambil anak-anak ini, kita letakkan di asrama-asrama supaya anak-anak ini tidak terganggu.
“Kadang-kadang tempat yang kita kata tidak banjir berlakunya banjir, yang itu kita akan uruskan bersama-sama dengan sokongan, kerjasama oleh polis, APM dan sebagainya,” katanya.
Op Payung merupakan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan khusus yang dikendalikan KPM menerusi Lembaga Peperiksaan bagi memastikan kelancaran peperiksaan awam ketika berlaku bencana alam termasuk banjir.
Persediaan menghadapi SPM tahun ini turut diselaraskan di semua peringkat menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, termasuk penggerakan pasukan pemantau serta penyelia kawasan.
Peperiksaan bertulis SPM 2026 dijadual berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember ini, manakala MTL yang bermula pada 27 Oktober lepas dijangka berterusan hingga Mac 2027.