
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Malaysia menggesa reformasi struktur Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dilaksanakan bagi mengehadkan penggunaan kuasa veto, khususnya dalam menangani jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
- Malaysia mendesak reformasi Majlis Keselamatan PBB untuk mengehadkan penggunaan kuasa veto.
- Reformasi diperlukan supaya sokongan majoriti negara anggota dapat diterjemahkan menjadi tindakan berkesan tanpa dihalang veto.
- Malaysia akan terus memanfaatkan PBB dan kerjasama ASEAN untuk mendesak penyelesaian segera konflik Palestin.
- Mesir bantu salurkan bantuan ke Gaza tetapi penghantaran masih dibatasi, kira-kira 100 trak dibenarkan sehari.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, reformasi itu penting bagi memastikan sokongan majoriti negara anggota PBB terhadap perjuangan Palestin dapat diterjemahkan kepada tindakan berkesan tanpa terhalang oleh kuasa veto sesebuah negara.
Tekanan antarabangsa juga perlu diteruskan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Palestin sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
“Walaupun hampir 160 negara bersetuju dalam Perhimpunan Agung PBB, Malaysia melihat keperluan untuk melakukan reformasi dan perubahan struktur dalam Majlis Keselamatan.
“Apa gunanya 160 negara menyatakan sokongan dan meluluskan resolusi bersama, tetapi akhirnya diveto oleh sebuah negara dalam Majlis Keselamatan PBB?
“Perkara ini sentiasa berlaku. Beribu-ribu resolusi berkaitan Palestin dikemukakan, tetapi akhirnya diveto,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurutnya, Malaysia akan terus memanfaatkan pelbagai platform antarabangsa, termasuk PBB dan kerjasama serantau ASEAN, bagi mendesak penyelesaian segera terhadap konflik Palestin.
Mengulas mengenai usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan, Datuk Seri Mohamad berkata, Mesir memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menyalurkan bantuan ke Gaza, termasuk memudah cara pergerakan pasukan sukarelawan dan penghantaran bekalan.
Bagaimanapun, usaha penghantaran bantuan masih berdepan kekangan akibat sekatan Israel, dengan jumlah trak bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza dilaporkan terhad kepada kira-kira 100 trak sehari.