Empangan Linggiu tidak termasuk dalam pemantauan PEN

Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Empangan Linggiu di Johor tidak termasuk dalam skop pemantauan Pusat Empangan Negara (PEN) kerana pengurusan dan pengoperasiannya terletak di bawah tanggungjawab Lembaga Kemudahan Awam Singapura (PUB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan Empangan Linggiu dijalankan oleh PUB setiap tahun; pemeriksaan menyeluruh setiap lima tahun bagi menilai keselamatan dan integriti struktur.
  • Pemantauan PEN terhad kepada 107 empangan yang diurus oleh agensi dan pengendali di bawah seliaan pihak berkuasa Malaysia.
  • Sebarang permintaan maklumat atau penyelarasan teknikal mengenai keselamatan Empangan Linggiu mesti melalui Badan Kawal Selia Air Johor dan PUB, tertakluk bidang kuasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, perkara itu selaras dengan Perjanjian Air Sungai Johor 1962 serta perjanjian tambahan pada 1990.

Beliau berkata, PUB menjalankan pemeriksaan terhadap empangan itu setiap tahun, manakala pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan setiap lima tahun bagi menilai aspek keselamatan dan integriti struktur empangan.

“PEN hanya memantau 107 empangan yang diuruskan oleh agensi dan pengendali di bawah seliaan pihak berkuasa Malaysia.

“Sehubungan itu, sebarang urusan mendapatkan maklumat atau penyelarasan teknikal berkaitan keselamatan dan integriti struktur Empangan Linggiu perlu dilaksanakan melalui Badan Kawal Selia Air Johor dan PUB Singapura, tertakluk kepada bidang kuasa serta persetujuan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Menurut Datuk Seri Fadillah, PETRA akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan agensi berkaitan bagi memastikan isu keselamatan empangan dikenal pasti serta ditangani, khususnya bagi melindungi penduduk di kawasan hiliran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.