
NAGOYA, 28 September – Skuad sepak takraw negara bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir antara regu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menempah tiket ke perlawanan akhir dan berpeluang memburu emas berganda.
- Ketua jurulatih Ahmad Jais memasukkan Mohamad Azlan dan Mohamad Syahir untuk memperkemas servis dan ubah percaturan.
- Mohamad Syahir menjadi pencetus kebangkitan dengan rejaman ace dan membantu menstabilkan regu pada set kedua dan ketiga.
- Malaysia akan berdepan Thailand dalam perlawanan akhir esok jam 9.30 pagi bagi merebut pingat emas.
Regu negara yang dibarisi tekong Muhammad Zulkifli Abd Razak, apit kanan Muhammad Afifuddin Razali dan apit kiri Aidil Aiman Azwawi bermula goyah apabila ketinggalan 0-4.
Servis Zulkifli atau Sobey menghadiahkan mata pertama Malaysia, namun Filipina terus mengawal permainan untuk mendahului 10-6.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun kemudian melakukan percaturan dengan memasukkan Mohamad Azlan Alias menggantikan Afifuddin, sebelum Mohamad Syahir Mohd Rosdi diturunkan menggantikan Zulkifli bagi memperkemas servis.
Bagaimanapun, Filipina kekal tenang untuk menutup set pertama 15-10, dengan tekong Rafael Jom Lerry memainkan peranan penting menerusi keupayaannya mengekang servis Malaysia.
Malaysia tampil lebih bertenaga pada set kedua apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3.
Syahir mencetuskan kebangkitan menerusi rejaman ace untuk meraih mata pertama negara sebelum Malaysia buat kali pertama mendahului 7-6 selepas servis Rafael tersangkut di jaring.
Momentum itu terus memihak kepada Malaysia yang melebarkan jurang sehingga 11-6 sebelum menamatkan set 15-11 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga berlangsung sengit apabila Syahir dan Rafael saling bertukar mata pada awal permainan, namun Malaysia mula menguasai gelanggang selepas mendahului 2-1.
Syahir terus menjadi pencetus kebangkitan negara apabila membantu Malaysia melebarkan kelebihan sebelum regu negara mengekalkan ketenangan untuk menutup set penentuan 15-7.
Kemenangan itu membawa Malaysia ke final untuk berdepan Thailand yang menewaskan Vietnam 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Pertemuan penentuan emas antara Malaysia dengan Thailand dijadualkan berlangsung pada 9.30 pagi waktu Malaysia, esok.
Kemenangan dalam aksi final berpotensi melengkapkan sasaran emas berganda skuad sepak takraw negara di Aichi-Nagoya 2026.