
GUNUNG JERAI, 28 September – Pelumba Jerman, Lennart Jasch mencipta sejarah sebagai pelumba pertama menakluki puncak Gunung Jerai dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas memenangi peringkat 2 dari Taiping ke puncak Gunung Jerai, hari ini.
- Peringkat sejauh 145.6 kilometer diselesaikan dalam 3 jam 37 minit 21 saat, merampas jersi jingga daripada Matteo Malucelli.
- Jasch menyerang kira kira dua kilometer terakhir untuk memintas Abel Balderstone; Balderstone tempat kedua, Jan Castellon ketiga.
- Kemenangan juga membawa jersi polka dot Raja Bukit kepada Jasch dengan 15 mata; Balderstone 12, Castellon 10.
- Peringkat 3 esok menempuh 189.7km dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, satu zon pendakian di Gerik dan tiga zon pecutan.
Pelumba Tudor Pro Cycling Team itu menamatkan perlumbaan sejauh 145.6 kilometer (km) dalam masa tiga jam 37 minit 21 saat, sekali gus merampas jersi jingga selaku pendahulu keseluruhan daripada Matteo Malucelli.
Jasch, 25, melakukan serangan ketika perlumbaan berbaki kira-kira dua kilometer sebelum memintas pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone, yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan ketinggalan 16 saat.
Rakan sepasukan Balderstone, Jan Castellon, melengkapkan podium peringkat dengan ketinggalan 32 saat.
Balderstone hanya dipintas Jasch ketika perlumbaan berbaki kira-kira 600 meter menuju garisan penamat.
Kemenangan itu turut membolehkan Jasch menyarung jersi polka dot selaku Raja Bukit selepas mengumpul 15 mata, diikuti Balderstone dengan 12 mata dan Castellon 10 mata.
Jasch kini mengumpul catatan keseluruhan tujuh jam 44 minit empat saat untuk menerajui kedudukan keseluruhan (GC), namun pelumba kelahiran Jerman itu enggan terlalu awal meletakkan sasaran untuk menjulang kejuaraan keseluruhan LTdL.
Jasch sebelum ini menceburi sukan luncur ais sebelum beralih ke bidang berbasikal.
Sementara itu, Malucelli kekal menyarung jersi biru selaku Raja Pecut dengan 17 mata, diikuti Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling dengan 12 mata dan Fernando Gaviria dengan sembilan mata.
Jersi putih selaku Pelumba Asia Terbaik kini menjadi milik Yuhi Tadome dari Aisan Racing Team yang mengumpul catatan keseluruhan tujuh jam 49 minit empat saat.
Pelumba Terengganu Cycling Team, Kee Zhe Yie muncul pelumba Malaysia terbaik di tempat kedua dengan catatan tujuh jam 49 minit 19 saat, manakala Tsen Ren Bao dari pasukan sama di tempat ketiga dengan tujuh jam 49 minit 43 saat.
Ren Bao merupakan anak kepada bekas pelumba negara, Tsen Seong Hoong.
Peringkat 3 LTdL 2026 esok menyaksikan pelumba menempuh laluan sejauh 189.7km dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, yang menawarkan satu zon pendakian di Gerik serta tiga zon pecutan di Kuala Ketil, Lawin dan Sauk.