Jasa Tun Dr Siti Hasmah kekal termaktub dalam sejarah badminton negara – Datuk Razif Sidek

Datuk Razif Sidek (kiri) dan Datuk Seri Jalani Sidek (kanan) bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali / Foto ihsan Datuk Razif Sidek

KUALA LUMPUR, 28 September – Jasa dan sokongan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali terhadap pembangunan badminton negara akan terus dikenang, khususnya oleh skuad Piala Thomas 1992 yang menganggap beliau sebagai seorang ‘ibu’ sepanjang perjuangan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Razif berkata beliau bukan sekadar penaung BAM tetapi selalu mengambil berat persiapan dan kebajikan pemain.
  • Kehadiran Tun Dr Siti Hasmah memberi semangat semasa Sukan Olimpik Barcelona 1992 kepada atlet badminton negara.
  • Razif dan Jalani Sidek meraih pingat gangsa di Barcelona, hadiahkan pingat Olimpik pertama buat Malaysia.
  • Tun Dr Siti Hasmah berkhidmat sebagai Penaung BAM lebih dua dekad, meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun.

Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek, yang merupakan kapten skuad berkenaan berkata, Allahyarham bukan sekadar penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tetapi sentiasa mengambil berat mengenai persiapan dan kebajikan pemain.

“Kita anggap beliau sebagai ibu kepada skuad Piala Thomas ketika itu. Kadang-kadang beliau datang ketika latihan, berjumpa dan berbual dengan kami serta memberikan kata-kata semangat.

“Kita tidak akan lupa jasa beliau ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 di Stadium Negara,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Datuk Razif berkata, sokongan Allahyarham turut dirasai ketika Sukan Olimpik Barcelona 1992 apabila beliau hadir memberikan semangat kepada atlet badminton negara.

Pada temasya itu, Datuk Razif bersama adiknya Datuk Seri Jalani Sidek mencipta sejarah dengan memenangi pingat gangsa, sekali gus menghadiahkan pingat Olimpik pertama buat Malaysia.

Menurut Datuk Razif, kehadiran Allahyarham di Barcelona amat bermakna dan memberikan semangat tambahan kepada mereka untuk beraksi.

Tambah beliau, pertemuan terakhir beliau secara peribadi bersama Allahyarham adalah pada majlis berbuka puasa tahun lalu yang turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan memori tersebut akan kekal menjadi kenangan terindah dalam hidupnya.

Allahyarham berkhidmat sebagai Penaung BAM selama lebih dua dekad sehingga 2007, termasuk ketika Malaysia menamatkan penantian 25 tahun untuk menjulang Piala Thomas selepas menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara pada 1992.

Tun Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak.

Allahyarham diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.