F1 GP Bahrain: MOTAC sasar kehadiran 300,000 pelancong

Foto FB SIC

PUTRAJAYA 28 September – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pelancong sempena penganjuran Formula One (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dari 2 hingga 4 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dianggarkan 50,000 pelancong antarabangsa akan hadir ke SIC sepanjang penganjuran Grand Prix F1.
  • Unjuran Hong Leong Bank: penganjuran F1 dijangka memberi impak ekonomi sekitar RM1.3 bilion melalui pelancongan sukan dan perbelanjaan asing.
  • Persiapan penganjuran capai 90 peratus; kerjasama agensi, pakej pelancongan dan program sampingan menggalak pengunjung melanjutkan penginapan.

Ketua Komunikasi Korporat MOTAC, Firna Azura Ekaputri Marzuki berkata daripada jumlah tersebut, 50,000 dijangka pelancong asing yang akan hadir ke SIC sepanjang penganjuran perlumbaan berprestij berkenaan.

Jelas beliau, berdasarkan unjuran Hong Leong Bank Research, penganjuran F1 itu juga dijangka memberi impak ekonomi kira-kira RM1.3 bilion menerusi sektor pelancongan sukan dan perbelanjaan pelancong asing.

“Berdasarkan data penyelidikan Hong Leong Bank, penganjuran F1 ini sahaja dijangka mampu menjana pendapatan sebanyak RM1.3 bilion melalui sektor pelancongan sukan dan perbelanjaan pelancong asing.

“Setakat ini, kita menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pelancong antarabangsa daripada keseluruhan 300,000 pengunjung yang dijangka membanjiri SIC bagi menyaksikan Grand Prix F1 tersebut,” katanya ketika ditemui di MOTAC, di sini, hari ini.

Dalam masa sama beliau berkata penganjuran perlumbaan tersebut juga bertepatan dengan Kempen Melawat Malaysia 2026–2027, sekali gus menjadi platform untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa mengenali budaya, seni dan produk pelancongan negara.

Katanya, MOTAC menerusi Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan SIC menyediakan beberapa pakej pelancongan bagi menggalakkan pengunjung antarabangsa melanjutkan tempoh penginapan mereka di negara ini.

“Selain menyaksikan F1, kita turut menggalakkan mereka untuk berbelanja, membeli-belah dan melakukan aktiviti pelancongan seperti melawat destinasi menarik di negara ini.

“Ini kerana selepas penganjuran F1 di Malaysia, saingan seterusnya akan berlangsung di Singapura,” katanya.

Sementara itu, Firna Azura berkata persiapan di bawah Jawatankuasa Publisiti, Promosi dan Pelancongan kini mencapai kira-kira 90 peratus dengan pelbagai kementerian serta agensi terlibat bagi memastikan kelancaran penganjuran.

Antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Komunikasi, Tourism Malaysia, Kraftangan Malaysia, Malaysia Aviation Group (MAG) dan Majlis Perbandaran Sepang selain SIC.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran F1 kali ini, pelbagai program sampingan berskala besar turut diatur bermula 23 September hingga 4 Oktober ini.

Antaranya ialah festival makanan Litar Rasa MADANI di SIC, Sepang Food Festival di Mitsui Outlet Park, Citrawarna Speed Festival, serta RIUH Pitstop di Tun Razak Exchange (TRX).

Selain itu, Malaysia International Craft Fair 2026 turut berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.