
SEPANG, 28 September – Penganjuran Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini bukan sekadar menawarkan aksi Formula 1 (F1), malah membawa budaya, tradisi dan cita rasa Bahrain terus ke Malaysia.
- Hiasan, kraf tangan dan makanan asli Bahrain dipamerkan di zon peminat dan kawasan komersial untuk pengalaman budaya autentik
- Podium meraikan pemenang dengan trofi tradisional dan semburan Waard tanpa alkohol, menggantikan tradisi semburan minuman beralkohol
- Kulinari tempatan, pakej hiburan termasuk Axwell dan Martin Garrix, serta fokus keselamatan untuk pengalaman bermakna peminat
Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), Sheikh Salman Isa Al Khalifa berkata, pihaknya mahu peminat yang hadir merasai pengalaman seolah-olah berada di Sakhir, Bahrain, menerusi hiasan, makanan dan aktiviti kebudayaan yang disediakan.
Dalam temu bual eksklusif bersama RTM, beliau berkata, zon peminat dan kawasan komersial dihiasi elemen tradisional serta moden Bahrain, termasuk kraf tangan dan makanan asli negara itu.
“Rancangannya memang untuk membawa budaya dan tradisi kami ke sini. Peminat akan menikmati pengalaman budaya Bahrain, daripada kraf tangan sehingga pilihan makanan,” katanya.
Keunikan Bahrain turut dibawa ke podium apabila pemenang akan meraikan kejayaan dengan semburan Waard, minuman tanpa alkohol buatan Bahrain, menggantikan tradisi semburan minuman beralkohol yang digunakan di sesetengah litar.
“Kami membawa trofi tradisional Bahrain dan di atas podium nanti, para pemenang akan diraikan dengan semburan Waard, minuman istimewa tanpa alkohol yang diperbuat daripada bahan tempatan,” katanya.
Suasana Bahrain turut diperluas ke kawasan paddock dan zon awam menerusi sajian kulinari tempatan, selain pakej hiburan yang menampilkan artis antarabangsa Axwell pada Sabtu dan Martin Garrix selepas perlumbaan Ahad.
Sheikh Salman berkata usaha itu penting memandangkan 50 peratus pembeli tiket terdiri daripada penonton tempatan manakala 50 peratus lagi peminat antarabangsa.
Beliau berharap gabungan budaya Bahrain dan suasana Sepang dapat mencipta pengalaman bermakna buat peminat yang menantikan kepulangan F1 ke Malaysia selepas sembilan tahun.
“Paling utama adalah perlumbaan yang selamat dan para peminat dapat menikmati detik ini, merakam gambar serta membina kenangan manis dalam acara bersejarah ini,” katanya.