
KUALA LUMPUR, 28 September – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenang dengan penuh penghargaan segala jasa, bakti dan sumbangan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali kepada Pergerakan Olimpik, khususnya dalam bidang sukan badminton.
- Pernah menjadi Penaung Persatuan Badminton Malaysia selama lebih dua dekad sehingga 2007, menyokong pembangunan sukan badminton.
- Dianugerahkan Anugerah Wanita dan Sukan 2004 pada majlis di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 20 Jun 2004.
- Juga bekas penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia selama lebih dua dekad sehingga 2018.
- Meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun; diberi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20.
MOM dalam kenyataan memaklumkan, Allahyarham pernah menjadi Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama lebih dua dekad sehingga 2007 dan sepanjang tempoh itu memberikan sokongan terhadap pembangunan sukan berkenaan.
Sebagai menghargai sumbangan beliau, MOM menganugerahkan Anugerah Wanita dan Sukan 2004 kepada Allahyarham pada majlis yang berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2004.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat dirasai seluruh keluarga Olimpik Malaysia.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada anak Allahyarham, Mirzan Mahathir yang juga Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia, serta seluruh keluarga.
MOM turut mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Selain badminton, Tun Dr Siti Hasmah juga adalah bekas penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia selama lebih dua dekad sehingga 2018.
Tun Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Allahyarham diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20.