
KUALA LUMPUR, 23 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan, dua pengarah Mandiri Development Centre Sdn. Bhd. ditahan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram antara 2024 hingga 2026.
- Kertas siasatan dibuka 10 September mengikut Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA 2001 (Akta 613).
- Siasatan meliputi penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan dan pengeluaran wang disyaki hasil aktiviti haram.
- Terdapat dakwaan penyaluran lebih RM1.5 juta dari The Tides Foundation; Mandiri menafikan dan memulakan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kertas siasatan telah dibuka pada 10 September lalu mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).
Siasatan dibuat susulan laporan polis berdasarkan hasil semakan terhadap syarikat berkenaan.
“Pada 22 September, sekitar jam 3.53 petang, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram telah menahan dua individu yang merupakan pengarah Mandiri Development Centre Sdn. Bhd. di Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan Sri Mohd Khalid berkata, PDRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Siasatan turut meliputi aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Isu berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini mendapat perhatian selepas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim pada Mei lalu menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan penyaluran dana lebih RM1.5 juta daripada The Tides Foundation, sebuah yayasan berpangkalan di Amerika Syarikat, kepada Mandiri.
Menurut laporan media ketika itu, AMK mendakwa tiga transaksi berjumlah lebih RM1.5 juta dibuat antara November 2024 hingga Jun 2025, manakala tujuh transaksi berjumlah RM686,729 didakwa dibuat kepada Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan Mandiri.
AMK mendakwa dana berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan aktiviti politik tertentu, termasuk operasi media sosial dan mobilisasi protes jalanan.
Bagaimanapun, Mandiri menafikan dakwaan berkenaan dan pada 18 Mei dilaporkan mengarahkan peguamnya memulakan proses saman terhadap Muhammad Kamil.