
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) mencadangkan penerapan mekanisme kredit cukai input yang diguna pakai dalam Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal ditambah baik.
- Pengecualian perniagaan ke perniagaan (B2B) sedia ada terhad; pengembangan boleh menghapuskan lebih banyak kesan cukai atas cukai.
- Langkah berupaya mengurangkan kutipan SST namun dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos perniagaan.
- Cadangan luaskan pengecualian merangkumi barangan dan perkhidmatan asas untuk memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban.
- Kerajaan mempertimbangkan komponen GST namun menegaskan tidak akan menambah beban cukai kepada golongan termiskin.
Presiden CTIM Alan Chung berkata, dari perspektif perniagaan, mekanisme kredit cukai input boleh mengelakkan kesan cukai ke atas cukai, di samping mengurangkan tekanan kos kepada peniaga.
”SST sedia ada mempunyai pengecualian untuk mengelakkan cukai atas cukai yang dikenali sebagai pengecualian perniagaan ke perniagaan atau B2B.
”Bagaimanapun, pengecualian ini adalah terhad dan hanya terpakai dalam keadaan tertentu. Jika kita dapat memperluaskan pengecualian B2B ini, ia akan menghapuskan lebih banyak kesan cukai ke atas cukai dan mengelakkannya daripada menjadi beban kepada perniagaan,” katanya kepada RTM.
Penerapan elemen tersebut yang akan mengurangkan tanggungan cukai sesebuah perniagaan, bagaimanapun berpotensi mengurangkan kutipan SST.
Namun, langkah itu berupaya meningkatkan kecekapan perniagaan melalui pengurangan kos, sekali gus memberi ruang kepada syarikat meningkatkan keuntungan dan seterusnya menyumbang lebih banyak cukai pendapatan kepada kerajaan.
Kesan tersebut berupaya mewujudkan kitaran positif kepada ekonomi, dengan peningkatan kecekapan dan keuntungan perniagaan membantu mengimbangi sebahagian kehilangan hasil SST.
Sementara itu, beliau mengesyorkan pengecualian cukai diperluaskan merangkumi barangan dan perkhidmatan asas, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan sebarang pembaharuan sistem percukaian.
Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kerajaan sedia mempertimbangkan beberapa komponen GST, namun menegaskan bahawa prinsip teras Kerajaan Madani bukan untuk meningkatkan beban cukai ke atas segmen penduduk termiskin.