
AMPANG, 22 Ogos – Industri perkayuan negara perlu beralih daripada bergantung kepada jumlah pengeluaran kepada penghasilan produk bernilai tinggi bagi meningkatkan daya saing serta membina jenama Malaysia yang mempunyai identiti tersendiri.
- Perkukuh daya saing melalui penghasilan produk berkualiti, reka bentuk, teknologi dan inovasi.
- Kerajaan sokong industri melalui MTIB, MTC dan MTCC untuk produktiviti, modal insan, pasaran dan amalan kelestarian.
- The Green Factory berjaya memasuki pasaran Jepun; tumpuan ekspor dan kelestarian jadi penanda aras kualiti.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh daya saing industri berkenaan menerusi penghasilan produk berkualiti, reka bentuk, penggunaan teknologi dan inovasi.
Katanya, nilai kayu tidak hanya terletak pada bahan mentah, sebaliknya boleh ditingkatkan melalui kemahiran, idea, reka bentuk serta identiti yang dibawa bersama sesuatu produk.
“Masa depan industri ini tidak boleh bergantung kepada jumlah pengeluaran semata-mata. Sebab kita kena bergerak lebih jauh kepada penghasilan produk yang bernilai tinggi.
“Sebab kita fokus kepada nilai tambah dan insya-Allah pembangunan jenama Malaysia itu boleh menjadikan produk ini lebih bersaing dan mampu untuk mempunyai identitinya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Merdekapenter 2026 di The Green Factory, Kampung Baru Ampang, hari ini.
Katanya, Malaysia berpotensi besar dalam industri perkayuan memandangkan produk kayu tempatan telah menembusi pasaran utama termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China, Eropah, Asia Barat, Australia dan negara-negara Asia.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memperkukuh industri berkenaan menerusi agensi di bawah kementeriannya termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) bagi meningkatkan produktiviti, membangunkan modal insan, memperluas pasaran serta memperkukuh amalan kelestarian.
Datuk Seri Dr. Noraini turut memuji pencapaian The Green Factory menembusi pasaran Jepun, yang disifatkannya sebagai bukti kualiti produk syarikat itu memenuhi standard tinggi pasaran negara berkenaan.
“Tahun lepas, The Green Factory telah dibawa ke China menerusi kerjasama perniagaan dengan pihak China, tetapi tahun ini mereka akan dibawa ke Jepun. Bukan semua syarikat boleh memasuki pasaran Jepun, tetapi sekiranya The Green Factory ini merupakan syarikat yang terpilih, saya ucapkan tahniah. Ini menunjukkan taraf dan kualiti syarikat tersebut sudah sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif The Green Factory, Harith Ridzuan berkata, syarikat itu memberi tumpuan kepada pasaran luar negara berikutan permintaan terhadap produk yang mengutamakan kelestarian semakin mendapat perhatian di peringkat global.
“Bila kita bergerak ke arah ‘green’ ni apa yang saya nampak ialah keperluan green ni adalah lebih kepada pasaran luar negara. Jadi kita pun memang fokus untuk kembangkan perniagaan kita luar daripada Malaysia,” katanya lagi.
Beliau berkata, Jepun dipilih sebagai antara pasaran sasaran kerana mempunyai standard kawalan kualiti yang tinggi, sekali gus menjadi penanda aras keupayaan syarikat memenuhi keperluan pasaran global.
Katanya, syarikat itu berjaya memperoleh projek membekalkan perabot untuk sebuah hotel di Jepun kira-kira dua tahun lalu, dengan penghantaran satu kontena perabot ke negara berkenaan.