
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kerajaan MADANI berpendirian untuk tidak mengambil alih Datasonic Technologies Sdn. Bhd. (DTSB), susulan laporan media mengenai cadangan pengambil alihan syarikat berkenaan yang menyediakan perkhidmatan berkaitan identiti rakyat.
- Identiti rakyat diiktiraf sebagai aset strategik terpenting negara.
- Aspek keselamatan, perlindungan dan kedaulatan identiti rakyat menjadi keutamaan.
- Pengawalan identiti dilaksanakan menerusi kerangka perundangan, kewangan, tadbir urus dan keselamatan yang menyeluruh.
- Kerajaan kekal komited memastikan pihak terlibat menyediakan perkhidmatan yang selamat dan dipercayai kepada rakyat.
Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), identiti rakyat merupakan antara aset strategik terpenting negara.
“Aspek keselamatan, perlindungan dan kedaulatan identiti rakyat harus menjadi keutamaan bagi memastikan kepentingan serta hak rakyat sentiasa terpelihara dan usaha mengawal selia perkara berkaitan identiti rakyat dilaksana menerusi kerangka perundangan, kewangan, tadbir urus dan keselamatan yang menyeluruh.
“Pada masa sama, pelbagai strategi proaktif, berkesan dan terbaik sentiasa diteroka serta diteliti bagi pastikan keselamatan dan kedaulatan identiti rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Dalam melaksanakan usaha berkenaan, setiap strategi yang dipertimbang dengan
mengambil kira aspek keberkesanan kos serta nilai terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan, selain memastikan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan.
Kerajaan juga kekal komited memastikan semua pihak yang terlibat terus menyediakan perkhidmatan yang selamat dan dipercayai kepada rakyat.