
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka melepasi paras US$4,600 setiap auns troy minggu depan.
- Emas kekal disokong sebagai pelaburan selamat kerana kebimbangan meningkat terhadap kadar hutang AS dan kredibiliti dasar fiskal selepas laporan hutang melebihi US$40 trilion.
- Pelabur menumpukan perhatian pada laporan inflasi PCE AS 26 Ogos dan Simposium Jackson Hole 27-29 Ogos untuk petunjuk dasar Rizab Persekutuan.
- Kontrak niaga hadapan meningkat minggu lalu; jumlah dagangan melonjak kepada 1,233 lot manakala kepentingan terbuka merosot kepada 327 kontrak.
Ahli strategi global Quintex Intel Stephen Innes berkata emas sepatutnya kekal disokong ketika pelabur mencari perlindungan berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kadar hutang negara Amerika Syarikat (AS) dan kredibiliti dasar fiskalnya selepas media melaporkan hutang AS telah melepasi paras US$40 trilion buat kali pertama.
“Bulion telah menjadi pilihan pelaburan utama bagi mengurangkan kebimbangan terhadap hutang kerajaan yang terlalu tinggi dan risiko bahawa pembuat dasar akhirnya bertindak balas dengan menurunkan kadar hasil sebenar, melaksanakan penindasan kewangan atau memberikan sokongan semula kepada lembaran imbangan.
“Dalam persekitaran ini, emas kekal sebagai lindung nilai terbaik terhadap hakisan kredibiliti fiskal yang lebih meluas merentasi pasaran maju,” katanya kepada Bernama.
Minggu depan, pemain pasaran turut menyasarkan petunjuk baharu daripada laporan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS, yang akan dikeluarkan pada 26 Ogos, serta Simposium Jackson Hole pada 27-29 Ogos.
Dalam simposium itu, pelabur dijangka memerhatikan petunjuk mengenai keputusan dasar Rizab Persekutuan AS pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan akan datang pada 15-16 September.
Bagi asas mingguan, kontrak semerta bulan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,586.40 setiap auns troy daripada US$4,358.70 pada Jumaat lepas, dan kontrak September 2026 mengukuh kepada US$4,602.90 daripada US$4,374.90.
Kontrak Oktober 2026 menokok kepada US$4,619.90 setiap auns troy daripada US$4,390.6, manakala kontrak November 2026 mengukuh kepada US$4,619.90 daripada US$4,349.20.
Kontrak Disember 2026 meningkat kepada US$4,627.70 setiap auns troy daripada US$4,398.40.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 1,233 lot daripada 1,009 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 327 kontrak daripada 339 kontrak seminggu sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,482.95 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 20 Ogos 2026.
— BERNAMA