
JOHOR BAHRU, 21 Ogos – Enam individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menculik seorang warga Singapura dengan tujuan mendapatkan wang tebusan RM63,000, awal bulan ini.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000 seorang, dua penjamin; syarat: tidak ganggu mangsa dan saksi, lapor bulanan, serah pasport.
- Di Mahkamah Majistret, pertuduhan melarikan warga Singapura 33 tahun dan mengurung rahsia di pangsapuri Taman Skudai Baru, 8 hingga 11 Ogos.
- Tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa, melibatkan rantai emas dan jam tangan, di Johor Bahru Utara pada 8 Ogos.
- Saravanan dan Puganeswaran didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan menggunakan pisau.
Kesemua tertuduh, masing-masing M. Balamurugan, 46 tahun, K. Saravanan, 40 tahun, P. Sri Devi, 41 tahun, G.Puganeswaran, 38 tahun, S. Gobinath, 38 tahun serta X. Adwin Nicholas, 41 tahun, membuat pengakuan berkenaan, di hadapan Hakim, Nor Aziati Jaafar.
Kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama menculik individu berusia 32 tahun itu, bagi mendapatkan wang tebusan di hadapan sebuah gereja di Skudai, kira-kira pukul 2 petang, 8 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan, selain menetapkan syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Di Mahkamah Majistret pula, kesemua tertuduh turut membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret, A. Shaarmini atas pertuduhan melarikan wanita warga Singapura berusia 33 tahun dengan niat mengakibatkan mangsa dikurung secara rahsia dan salah di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru, antara 2 petang pada 8 Ogos hingga 6.30 petang 11 Ogos lepas.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Balamurugan, Saravanan dan Gobinath mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Zainol atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap lelaki yang sama melibatkan seutas rantai leher emas dan seutas jam tangan milik mangsa, dalam kereta sekitar Johor Bahru Utara, kira-kira 2 petang, 8 Ogos lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan, selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Dalam prosiding berasingan, Saravanan dan Puganeswaran masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap lelaki sama menggunakan sebilah pisau.
Kesemua mahkamah menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.