
PONTIAN, 8 Oktober – Tiga beradik, termasuk dua murid sekolah rendah, maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, awal pagi tadi.
- Motosikal yang ditunggang lelaki berusia 18 tahun dipercayai bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
- Penunggang sedang menghantar dua adik yang merupakan murid Tahun Lima dan Tahun Dua ke sekolah yang ditutup akibat jerebu.
- Pemandu lori, 69 tahun, mengalami kecederaan dan menerima rawatan; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi, mangsa terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, serta abang mereka berusia 18 tahun.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian, berkata kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 18 tahun bersama adiknya dari arah Jalan Parit Haji Omar menghala ke Jalan Kayu Ara Pasong, Pontian.
Beliau berkata, tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai telah bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran tersebut penunggang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian. Dua pembonceng yang merupakan adik beradik turut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu motolori, seorang lelaki berusia 69 tahun mengalami kecederaan pada tangan, kedua-dua lutut serta telah menerima rawatan”, katanya menerusi satu kenyataan.
Difahamkan, remaja berusia 18 tahun itu sedang menghantar kedua-dua adiknya yang masing-masing merupakan murid Tahun Lima dan Tahun Dua ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran.
Katanya, ketiga-tiga mangsa dipercayai tidak mengetahui sekolah telah ditutup selama dua hari susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.