RCI TH: Pelan tindakan, tempoh jelas penting pulihkan keyakinan pendeposit

Kejelasan tempoh masa bagi pelaksanaan baki syor tersebut amat penting, terutamanya melibatkan isu tadbir urus dan perundangan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pelaksanaan baki 25 peratus syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disusuli dengan pelan tindakan serta kerangka masa yang konkrit bagi mengembalikan dan melonjakkan semula keyakinan para pendeposit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejelasan jadual masa pelaksanaan syor RCI penting, khususnya bagi isu tadbir urus dan perundangan.
  • Pindaan Akta Tabung Haji perlu memisahkan kuasa dan cegah campur tangan politik dalam tempoh masa konkrit.
  • Penetapan jadual jelas oleh TH, kerajaan dan JPM (Hal Ehwal Agama) penting untuk memulihkan keyakinan pendeposit.
  • TH perlu kekal berpegang pada mandat asal: lindungi nilai simpanan daripada hakisan inflasi sambil kekalkan kelestarian hibah.

Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd Zaidi Md Zabri berkata, kejelasan tempoh masa bagi pelaksanaan baki syor tersebut amat penting, terutamanya melibatkan isu tadbir urus dan perundangan.

“Sebagai contoh, pindaan Akta Tabung Haji untuk memisahkan kuasa serta mengelakkan isu campur tangan politik perlu diletakkan jangka masa yang konkrit, sama ada dalam tempoh enam bulan atau satu tahun.

“Penetapan jadual waktu yang jelas ini merupakan langkah penting oleh pihak Tabung Haji, kerajaan dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memulihkan serta mengukuhkan kepercayaan pendeposit secara berterusan,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Menurut beliau, langkah pemulihan yang berterusan sejak 2018 berjaya menstabilkan operasi institusi berkenaan.

Menyentuh mengenai isu kelestarian agihan keuntungan (hibah), Dr. Mohd Zaidi optimis prestasi TH akan terus mengukuh berdasarkan rekod agihan pascapemulihan yang konsisten dan berdaya saing.

Namun, beliau mengingatkan agar TH sentiasa berpegang teguh kepada mandat asalnya iaitu melindungi nilai simpanan pendeposit daripada hakisan kadar inflasi.

“Mandat asal Tabung Haji adalah melindungi nilai simpanan para bakal haji melalui pelaburan dalam portfolio dan instrumen yang sesuai. Agihan hibah itu pula merupakan hasil daripada proses perlindungan nilai tersebut,” tambahnya.

Dewan Rakyat bersidang hari ini bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Mesyuarat Khas itu dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen dan kemudian sesi penggulungan oleh Dr Zulkifli dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.