Kajian semula duti anti-lambakan import gegelung keluli dilaksana

Logo MITI

KUALA LUMPUR, 7 Ogos Kerajaan memulakan kajian semula tamat tempoh terhadap pengenaan duti anti-lambakan bagi import gegelung keluli yang dipracat, dicat atau disalut warna yang dieksport dari China dan Vietnam.

RINGKASAN BERITA AI
  • MITI memaklumkan kajian semula dilaksanakan selepas permohonan CSC Steel mewakili pengeluar tempatan.
  • Kajian dijalankan mengikut subseksyen 28C(6) Akta 504 dan Peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.
  • Penentuan muktamad akan dibuat dalam tempoh 180 hari dari tarikh permulaan kajian semula pentadbiran.
  • Penyerahan maklumat melalui TRIMA sebelum atau pada 17 Ogos 2026; kerajaan boleh membuat penentuan berdasarkan seksyen 41 jika maklumat tidak mencukupi.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan langkah itu dilaksanakan berdasarkan permohonan yang difailkan oleh CSC Steel Sdn. Bhd yang mewakili industri tempatan atas alasan bahawa penamatan duti anti-lambakan berkemungkinan menyebabkan lambakan dan kemudaratan berterusan atau berulang kepada pengeluar tempatan.

“Kerajaan mempertimbang permohonan dan maklumat yang dikemukakan dan memutuskan untuk memulakan kajian semula tamat tempoh duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjek dari kedua-dua negara itu.

“Langkah ini selaras dengan subseksyen 28C(6) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) dan peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan),” menurut MITI menerusi kenyataan.

Tambah MITI, penentuan muktamad bagi kajian semula pentadbiran akan dibuat dalam tempoh 180 hari dari tarikh permulaan, selaras dengan peruntukan di bawah Akta 504 dan Peraturan.

Kementerian itu turut memaklumkan kerajaan juga menetapkan tempoh semakan bagi penyiasatan bermula 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2025.

“Semua penyerahan maklumat dan maklum balas soal selidik hendaklah dibuat secara elektronik melalui Sistem Pengurusan Siasatan Remedi Perdagangan (TRIMA).

“Pihak berkepentingan yang berkenaan hendaklah memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan, kepada MITI secara elektronik sebelum atau pada 17 Ogos 2026,” jelas MITI.

Selain itu, kerajaan boleh membuat penentuan awal dan penentuan muktamad berdasarkan fakta sedia ada selaras dengan seksyen 41 Akta 504 sekiranya pihak berkepentingan tidak memberikan maklumat yang diperlukan termasuk maklumat dan pandangan tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.