Op Tok Gajah: SPAN perketat penguatkuasaan tangki septik

Foto RTM

KUANTAN, 22 September – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperketat penguatkuasaan terhadap pemilik premis yang gagal mengosongkan tangki septik mengikut jadual menerusi Op Tok Gajah di sekitar Kuantan dan Temerloh, Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilik tangki septik wajib menyelenggara mengikut Seksyen 65(1)(C), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
  • Kegagalan mematuhi boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan di bawah Seksyen 66(1)(A).
  • Pengosongan tangki perlu dilakukan setiap dua tahun dalam kawasan PBT dan setiap tiga tahun di luar PBT untuk kesihatan awam dan alam sekitar.

Operasi yang berlangsung dari 21 hingga 26 September itu melibatkan pemeriksaan terhadap 1,338 premis yang gagal mematuhi notis pengosongan tangki septik dikeluarkan Indah Water Konsortium (IWK).

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, daripada jumlah itu, 54 premis adalah komersial manakala 1,284 lagi premis domestik.

“Sehingga 2025 terdapat kira-kira 1.38 juta tangki septik individu di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Daripada jumlah itu, 154,578 tangki septik individu direkodkan di Pahang, termasuk 57,443 di Kuantan dan 21,091 di Temerloh,” katanya selepas Op Tok Gajah di Taman Tas, di sini.

Beliau berkata, di bawah Seksyen 65(1)(C), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik tangki septik bertanggungjawab menyelenggara dan menjaga sistem berkenaan.

Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, manakala kesalahan di bawah Seksyen 66(1)(A) boleh membawa denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Ainal Yusman berkata, pengosongan tangki septik perlu dilakukan setiap dua tahun bagi premis dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala setiap tiga tahun bagi kawasan luar PBT.

Beliau menasihatkan pemilik dan penghuni premis supaya mematuhi notis pengosongan yang dikeluarkan bagi memastikan kebersihan alam sekitar, kesihatan awam dan kelestarian sistem pembetungan negara terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.