JAKIM taja 60 huffaz baharu, terus biayai 350 pelajar

Foto RTM

BANGI, 22 September – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperuntukkan RM7 juta tahun ini bagi menaja 60 pelajar baharu dan meneruskan pembiayaan 350 pelajar sedia ada menerusi Skim Pembiayaan Huffaz (SPH).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPH adalah pelaburan strategik untuk melahirkan Huffaz Kalis Masa Depan yang mengimbangi penguasaan al-Quran dengan kecemerlangan akademik dan profesional.
  • Skim memberi peluang huffaz meneruskan pengajian dalam bidang profesional seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang selain pengajian Islam.
  • Penerima dipilih melalui saringan ketat; kini mengikuti pengajian Doktor Falsafah, Sarjana dan Ijazah di IPT tempatan serta luar negara seperti Mesir dan Jordan.

Skim yang dilaksanakan sejak 2012 itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, malah menjadi pelaburan strategik bagi melahirkan generasi ‘Huffaz Kalis Masa Depan’ yang mampu mengimbangi penguasaan ilmu wahyu dengan kecemerlangan akademik dan profesional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, keunikan SPH terletak pada peluang yang diberikan kepada golongan huffaz untuk meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang profesional.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan lahir lebih ramai huffaz profesional dalam bidang seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang selain pengajian Islam.

“Keunikan Skim Pembiayaan Huffaz ini ialah kita memberikan peluang kepada mereka yang menghafaz al-Quran untuk meneruskan pengajian dalam bidang profesional dan bidang lain.

“Kita ingin melahirkan huffaz yang profesional dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kedoktoran, undang-undang, pengajian agama dan sebagainya.

“Skim ini sememangnya sangat signifikan kerana kita mahu memelihara dan membangunkan potensi anak-anak yang bergelar hafiz, supaya keupayaan serta bakat yang mereka ada dapat digarap dan dikembangkan sebaiknya,” katanya selepas Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pelajar baharu SPH di ILIM di sini, hari ini.

Tahun ini, JAKIM menerima 454 permohonan yang melalui saringan ketat meliputi pencapaian akademik serta ujian hafazan 30 juzuk al-Quran.

Penerima pembiayaan kini mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah, Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi tempatan serta luar negara termasuk Mesir dan Jordan.

Selain Pengajian Islam dan Qiraat, bidang pengajian turut merangkumi bidang profesional seperti Perubatan dan Pembedahan, Pergigian, Kejuruteraan, Undang-Undang dan Sastera.

Sejak diperkenalkan, SPH JAKIM telah memberi manfaat kepada 1,689 pelajar huffaz bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.