Geo AI bantu ramal risiko banjir, salur amaran awal

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 September – Gabungan kecerdasan buatan (AI) dan data geospatial berpotensi membantu pihak berkuasa meramal risiko banjir dengan lebih tepat, sekali gus membolehkan amaran awal disalurkan kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi dapat mempertingkat pengagihan sumber kecemasan secara lebih berkesan ketika berlaku bencana.
  • ASEAN Geo AI Fusion menghimpunkan bakat muda ASEAN untuk membangunkan idea inovatif berimpak jangka panjang.
  • Program anjuran MCMC dan Kementerian Komunikasi tumpu pembangunan penyelesaian AI serta geospatial bagi menangani cabaran bencana.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata teknologi berkenaan juga dapat membantu pengagihan sumber kecemasan secara lebih berkesan ketika berlaku bencana.

Katanya, aplikasi teknologi itu berpotensi memberi manfaat besar kepada masyarakat di rantau ASEAN, khususnya dalam menghadapi risiko bencana alam.

“Dengan menggabungkan AI dengan data geospatial, pihak berkuasa boleh meramal risiko banjir dengan lebih baik, memberikan amaran awal kepada masyarakat dan mengagihkan sumber kecemasan dengan lebih efektif.

“Ini adalah aplikasi praktikal yang mampu membawa perbezaan merentasi ASEAN,” katanya dalam ucapan penutup program ASEAN Geo AI Fusion 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata penerapan teknologi bukan sekadar matlamat akhir, sebaliknya nilai sebenar teknologi terletak pada sejauh mana ia mampu meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan masyarakat.

Dalam pada itu, Teo berkata ASEAN Geo AI Fusion menjadi platform menghimpunkan bakat muda dari seluruh rantau ASEAN untuk membangunkan idea inovatif yang berpotensi memberi impak jangka panjang kepada industri.

Program tiga hari itu menarik penyertaan 1,112 peserta dari 11 negara ASEAN, dengan 72 peratus daripadanya terdiri daripada mahasiswa.

Malaysia turut mendominasi tiga kedudukan teratas pertandingan berkenaan apabila muncul johan, naib johan dan tempat ketiga, mengatasi finalis dari negara ASEAN lain.

Program anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi itu memberi tumpuan kepada pembangunan idea serta penyelesaian berasaskan AI dan geospatial bagi menangani cabaran bencana alam, termasuk penggunaan teknologi dalam meramal bencana.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.