
TANJONG MALIM, 22 September – Bahasa etnik merupakan khazanah berharga yang mencerminkan jati diri, sejarah dan warisan budaya sesebuah masyarakat, selain menjadi penghubung yang mewariskan nilai serta tradisi.
- Simposium dijadikan platform merangka usaha berkesan memastikan bahasa etnik terus hidup dan digunakan dalam masyarakat.
- Pelajar diseru menghidupkan bahasa etnik melalui penggunaan aktif dalam media, perniagaan, pendidikan, industri kreatif dan teknologi termasuk AI.
- Generasi muda sebagai pewaris ilmu; usaha mereka memahami dan mengamalkan kepelbagaian budaya memperkukuh perpaduan negara.
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Madya Dr Mazura @ Mastura Muhamad berkata, kepelbagaian bahasa di Malaysia bukan sebagai penghalang kepada perpaduan, sebaliknya sebagai kekayaan yang wajar dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Saya berharap agar program ini bukan sekadar menjadi ruang perbincangan akademik, tetapi turut menjadi platform untuk kita bersama sama memikirkan usaha yang lebih berkesan dalam memastikan bahasa etnik terus hidup dan digunakan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ETHNOSPHERE 2: Simposium Bahasa Etnik Kali ke-2 di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI dengan kerjasama mahasiswa Diploma Bahasa Etnik (E261).

Sementara itu Profesor Adjung UiTM Datuk Suhaimi Sulaiman menyeru para pelajar supaya tidak sekadar memelihara bahasa etnik, tetapi menghidupkannya melalui penggunaan aktif dalam media, perniagaan, pendidikan, industri kreatif dan dunia digital.
“Anak-anak muda merupakan pewaris bahasa dan budaya kita. Sehubungan itu penguasaan bahasa etnik perlu dilihat sebagai kelebihan kompetitif berbanding satu kekurangan, memandangkan bilangan penutur yang mampu menghasilkan kandungan berkualiti dalam Bahasa Iban, Kadazandusun atau Semai jauh lebih terhad berbanding Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
“Scarcity creates value. Apa yang tidak ramai orang boleh lakukan, itulah yang menjadi bernilai. Pelajar juga disaran membina empat keupayaan utama iaitu bercakap, menulis, mencipta kandungan dan memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Dalam pada itu generasi muda juga dilihat sebagai penyambung kesinambungan ilmu bahasa etnik seiring dengan tema program iaitu “Pewaris Ilmu, Pengikat Warisan, Pemacu Perpaduan”.
Usaha generasi muda meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya dapat memperkukuh perpaduan negara, berlandaskan semangat hidup bersama dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
ETHNOSPHERE 2 disertai 76 pelajar Diploma Bahasa Etnik, 30 pelajar dan dua guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim, Perak, serta 10 pensyarah Jabatan Bahasa Etnik.