
TELUK BAHANG, 22 September – Jabatan Perikanan Malaysia akan bekerjasama dengan Akuaria KLCC bagi menjalankan analisis genetik dan environmental DNA (eDNA) untuk mengesahkan kewujudan spesies ikan piranha di Empangan Klau, Pahang.
- Jabatan Perikanan perlukan spesimen fizikal dan analisis morfologi untuk pengesahan genus dan spesies.
- Nelayan darat dan pemancing diminta tidak membuang ikan disyaki spesies terlarang bagi memudahkan pengesahan.
- Pemilikan tanpa kelulusan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM100,000 di bawah Akta Perikanan 1985.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata kerjasama itu akan memanfaatkan spesimen hidup piranha serta maklumat DNA yang dimiliki Akuaria KLCC bagi menentukan sama ada ikan yang dikesan di empangan berkenaan benar-benar piranha atau pacu.
Katanya, pengesahan itu penting berikutan Jabatan Perikanan belum menerima spesimen fizikal untuk membolehkan pengecaman dibuat pada peringkat genus dan spesies.
“Jadi, kita akan bekerjasama dengan pihak Aquaworks dan juga Akuaria untuk mengenal pasti piranha yang ada di Empangan Klau itu melalui sama ada eDNA ataupun DNA sendiri,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Marin di Angsana Teluk Bahang.
Menurutnya, analisis awal berdasarkan rakaman video nelayan darat setakat ini hanya menunjukkan ciri morfologi yang menghampiri genus piranha, namun belum dapat mengesahkan spesies berkenaan secara konkrit.
Sehubungan itu, beliau menggesa nelayan darat dan pemancing supaya tidak membuang mana-mana ikan yang disyaki spesies terlarang atau invasif sekiranya tertangkap di perairan umum.
Katanya, spesimen fizikal amat diperlukan bagi membolehkan Jabatan Perikanan menjalankan analisis morfologi termasuk pemeriksaan sisik dan gigi.
Beliau berkata terdapat laporan nelayan darat di kawasan berkenaan menemui ikan yang menyerupai piranha, namun spesimen itu telah dibuang sehingga menyukarkan proses pengesahan.
Dalam pada itu, beliau berkata secara teorinya, keadaan perairan tempatan membolehkan spesies dari Sungai Amazon seperti piranha, Arapaima gigas dan alligator gar menyesuaikan diri sekiranya terlepas ke perairan awam.
Mengulas aspek pemilikan, Datuk Adnan berkata individu atau premis yang memiliki, menyimpan atau menjual spesies ikan terlarang seperti piranha tanpa kelulusan Jabatan Perikanan boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM100,000 di bawah Akta Perikanan 1985.
Katanya, pemegang permit juga diwajibkan melaporkan pemilikan serta status ikan kepada Jabatan Perikanan bagi memastikan rekod dan pergerakan spesies berkenaan dapat dikesan.
Bagi mengekang penjualan haram, Jabatan Perikanan akan mengadakan perbincangan susulan dengan penyedia platform dalam talian berhubung kelulusan khas dan sijil kesihatan bagi kemasukan spesies ikan hidup.
Pemeriksaan berkala di premis penjualan ikan hiasan di seluruh negara turut diperketatkan bagi memastikan pematuhan terhadap senarai spesies ikan terlarang.