Permintaan hartanah bertanah kekal kukuh

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Permintaan terhadap hartanah kediaman bertanah dan komersial kekal positif, manakala minat pembeli asing terhadap pasaran hartanah Malaysia menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak enam hingga tujuh bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan rumah kedai meningkat ketara, mencerminkan perubahan sentimen pembeli sejak tiga tahun lalu.
  • Cadangan memperluas pengecualian duti setem kepada pemilik yang menjual rumah sedia ada untuk membeli kediaman baharu.
  • Glomac menyasarkan pelancaran projek RM371 juta, jualan belum dibil RM546 juta dan GDV kira-kira RM6 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad, Datuk Seri FD Iskandar, berkata permintaan terhadap rumah kedai turut meningkat ketara berbanding tiga tahun lalu, mencerminkan perubahan sentimen pembeli terhadap segmen hartanah berkenaan.

Beliau berkata minat pembeli asing juga menunjukkan tanda pemulihan, termasuk terhadap hartanah di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur, meskipun pasaran berdepan ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos pembinaan.

“Permintaan terhadap hartanah kediaman bertanah masih mendapat sambutan. Rumah kedai pula mendapat sambutan yang sangat baik. Tiga tahun lalu, tiada siapa mahu membeli, tetapi sekarang semua orang mahu membeli,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac ke-42 di sini, hari ini.

Mengulas Belanjawan 2027, beliau mencadangkan supaya pengecualian duti setem diperluas kepada pemilik rumah sedia ada yang menjual hartanah mereka untuk membeli kediaman baharu, selain pembeli rumah pertama.

Menurutnya, langkah itu dapat membantu pemilik menggunakan hasil jualan hartanah sedia ada sebagai modal untuk mendapatkan kediaman yang lebih baik.

“Pengecualian duti setem ini sememangnya membantu. Namun, kemudahan itu juga wajar diberikan kepada pemilik yang sudah mempunyai sebuah rumah.

“Kami berharap kemudahan itu turut diperluas kepada pemilik yang menjual rumah sedia ada agar hasil jualan tersebut boleh digunakan sebagai modal untuk membeli kediaman yang lebih baik,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027, Glomac menyasarkan pelancaran projek pembangunan baharu bernilai RM371 juta.

Syarikat itu turut mempunyai jualan belum dibil berjumlah RM546 juta serta baki nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM6 bilion.

Bagi tahun kewangan 2026, Glomac mencatatkan hasil RM226.2 juta dan keuntungan bersih RM20.2 juta.

Pemegang saham syarikat itu turut meluluskan dividen akhir sebanyak 1.38 sen sesaham yang dijadualkan dibayar pada 16 Disember ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.