
ALOR SETAR, 22 Oktober – Sebanyak RM37.9 juta diperuntukkan menerusi 21 Program Pembangunan Perniagaan Koperasi pada 2026 bagi membantu koperasi di seluruh negara mengembangkan perniagaan.
- Kerajaan sediakan lebih RM20 juta menerusi Belanjawan MADANI 2026 untuk geran pembangunan dan pembiayaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
- TMPSKM menyediakan dana RM176 juta menerusi lapan produk pembiayaan bagi menyokong perkembangan perniagaan koperasi.
- Koperasi digesa memperkukuh tadbir urus, memperluas penggunaan teknologi dan pendigitalan serta meningkatkan inovasi demi kekal berdaya saing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan turut menyediakan lebih RM20 juta menerusi Belanjawan MADANI 2026 bagi geran pembangunan dan pembiayaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Inisiatif ini menyokong koperasi yang terlibat dalam aktiviti keterjaminan makanan, meningkatkan hasil pertanian serta menggalakkan penggunaan teknologi dalam pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 Negeri Kedah (MAGK’26) di sini.
Dalam pada itu, Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) menyediakan dana RM176 juta menerusi lapan produk pembiayaan bagi menyokong perkembangan perniagaan koperasi.
Datuk Mohamad berkata, koperasi perlu terus memperkukuh tadbir urus, memperluas penggunaan teknologi dan pendigitalan serta meningkatkan inovasi bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing.
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 1,047 koperasi berdaftar di Kedah dengan keanggotaan 276,375 orang.
Gerakan koperasi negeri itu mempunyai aset RM764 juta, manakala pendapatannya meningkat daripada RM424 juta pada 2024 kepada RM479 juta pada 2025, iaitu pertambahan RM55 juta.