PM tiba di Shanghai untuk lawatan kerja tiga hari ke China

Foto Pejabat Perdana Menteri

SHANGHAI, 22 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Shanghai pada pukul 5.10 petang tadi bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghadiri Majlis Pembukaan WorldSkills Shanghai 2026 dan menyertai sesi berkaitan pembangunan kemahiran serta sesi meja bulat industri.
  • Bertemu pemimpin China termasuk pertemuan bersama Perdana Menteri Li Qiang untuk memperkukuh hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan.
  • Meneruskan lawatan ke Hangzhou untuk menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global ke-5 dan menyampaikan ucaptama mengenai perdagangan digital dan teknologi.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong disambut Timbalan Datuk Bandar Shanghai, Wang Huajie; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; serta Anggota Kumpulan Kepimpinan Parti, Pejabat Hal Ehwal Luar Perbandaran Shanghai, Su Lin.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Johari Abdul Ghani dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Malam ini, Datuk Seri Anwar dijadual menghadiri Majlis Pembukaan WorldSkills Shanghai 2026 di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai.

Majlis yang berlangsung dari pukul 8 hingga 9.30 malam itu menghimpunkan peserta dan delegasi dari seluruh dunia dalam bidang kemahiran.

Esok, beliau dijadual memenuhi beberapa agenda berkaitan pembangunan kemahiran, termasuk sesi meja bulat industri serta Plenari Pembukaan Persidangan WorldSkills.

Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan ucaptama pada Plenari Pembukaan Persidangan WorldSkills.

Selain agenda berkaitan WorldSkills, lawatan kerja itu turut memberi tumpuan kepada hubungan dua hala Malaysia-China menerusi pertemuan bersama Perdana Menteri China, Li Qiang.

Dari Shanghai, Datuk Seri Anwar akan meneruskan perjalanan ke Hangzhou bagi menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global ke-5 (GDTE).

Beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada acara berkenaan, yang menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan digital dan ekonomi berasaskan teknologi.

Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dengan China, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan kemahiran dan ekonomi digital.

Ia juga merupakan kesinambungan hubungan erat Malaysia-China, khususnya dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.