
KUALA LUMPUR, 22 September – Perancangan Malaysia ke arah masyarakat menua perlu mengambil kira keperluan individu neurodivergen serta keluarga mereka.
- Ubah cara pandang; jangan tafsir individu neurodivergen semata-mata berdasarkan kekurangan, akui keupayaan, kekuatan dan potensi mereka.
- Perancangan awal dan jangka panjang perlu bagi memastikan kesinambungan sokongan serta membina keupayaan kebolehdikarian.
- Penjagaan tidak harus dipikul sepenuhnya oleh keluarga, terutamanya wanita; perlu ekosistem sokongan, ruang rehat dan bantuan mampu dibiayai.
- Dasar dan agenda penjagaan merupakan tanggungjawab moral untuk hak hidup bermaruah, keselamatan dan hak menentukan kehidupan sendiri.
Perkara itu diketengahkan pada forum ‘The Next Chapter: Planning for Neurodivergent Lives and Ageing Families’ yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, di sini.
Dalam ucapannya beliau berkata, dunia pada hari ini berdepan dua realiti serentak iaitu peningkatan kualiti penjagaan kesihatan dan kehidupan serta peralihan demografi yang pesat ke arah status negara menua.
“Peralihan demografi ini bukan sekadar soal angka. Ia mengubah cara keluarga menjalani kehidupan, cara komuniti saling menyokong dan cara kerajaan merangka perkhidmatan.
“Ia juga bermakna kita perlu membuat perancangan lebih awal untuk masa depan ibu bapa yang semakin berusia serta kesejahteraan jangka panjang individu neurodivergen yang mungkin bergantung kepada sokongan keluarga,” katanya.
Istilah neurodivergen merujuk kepada individu yang mempunyai perbezaan dalam cara otak memproses maklumat, berkomunikasi, belajar dan berinteraksi dengan persekitaran.
Sehubungan itu, masyarakat perlu mengubah cara melihat dan memahami golongan berkenaan bagi membolehkan perancangan yang lebih menyeluruh dibuat untuk kehidupan mereka.
“Pendekatan kita tidak seharusnya hanya berasaskan kekurangan atau cabaran yang dihadapi individu neurodivergen.
“Autisme, attention deficit hyperactivity disorder atau ADHD, disleksia dan variasi kognitif yang lain tidak seharusnya ditakrifkan semata-mata berdasarkan cabaran.
“Sebaliknya kita perlu mengiktiraf keupayaan, kekuatan dan potensi mereka, serta mewujudkan persekitaran yang membolehkan mereka menyumbang, menentukan kehidupan sendiri dan mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, perancangan untuk kehidupan individu neurodivergen dan keluarga yang semakin berusia bukan sekadar objektif dasar; sebaliknya merupakan satu tanggungjawab moral.
“Setiap individu, tanpa mengira neurojenis atau usia, berhak menjalani kehidupan yang bermaruah, mempunyai hak menentukan kehidupan sendiri serta menikmati keselamatan dan jaminan,” katanya.
Agenda penjagaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan perkara itu tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh keluarga, khususnya wanita, tanpa sokongan ekosistem penjagaan sewajarnya.
“Apabila keluarga semakin berusia, tanggungjawab penjagaan boleh menjadi semakin kompleks dan berpanjangan.
“Penjaga itu sendiri mungkin terdiri daripada golongan warga emas, pasangan, adik-beradik atau anggota keluarga lain yang memerlukan ruang rehat, maklumat, kemahiran, sokongan emosi serta akses kepada perkhidmatan yang mampu dibiayai,” katanya.
Forum anjuran ‘Malaysian Healthy Ageing Society’ (MHAS) bersama pusat intervensi multidisiplin – Oasis Place, yang merupakan pusat intervensi transdisiplinari, menyoroti keperluan perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh, terutama apabila ibu bapa atau penjaga yang selama ini menjadi tonggak utama dalam kehidupan individu neurodivergen semakin meningkat usia.
Perancangan awal juga penting bagi memastikan kebajikan serta kesinambungan sokongan terhadap individu neurodivergen terus terpelihara, di samping membina keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih berdikari dengan sokongan yang bersesuaian.