
KUALA LUMPUR, 22 September – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih menunggu terma serta syarat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum proses pelesenan platform e-dagang dilaksanakan.
- MCMC ada kuasa melesenkan platform e-dagang berdasarkan kerangka perundangan sedia ada; terma khusus perlu ditentukan kementerian berkaitan.
- Perbincangan bersama MOF dan KPDN diadakan untuk meneliti kaedah terbaik mengawal selia platform e-dagang.
- Pelesenan akan melibatkan semua platform e-dagang untuk mewujudkan persaingan sama rata dan melindungi kepentingan pengguna Malaysia.
- Ekspo E-Dagang Rentas Sempadan ASEAN-China 26-28 November di KLCC membuka peluang eksport bagi vendor Malaysia; peniaga asing disaran rakan kongsi tempatan dan patuhi piawaian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, MCMC mempunyai kuasa untuk melesenkan platform berkenaan berdasarkan kerangka perundangan sedia ada, namun terma dan syarat khusus perlu ditentukan terlebih dahulu oleh kementerian berkaitan.
Menurutnya, perbincangan bersama MOF dan KPDN telah diadakan bagi meneliti kaedah terbaik mengawal selia platform e-dagang.
Beliau berkata MCMC bersedia melaksanakan proses pelesenan sebaik sahaja terma dan syarat berkenaan dimuktamadkan.
Katanya, pelesenan itu tidak menyasarkan mana-mana platform secara khusus, sebaliknya melibatkan semua platform e-dagang bagi mewujudkan medan persaingan yang sama rata selain memastikan kepentingan pengguna Malaysia dilindungi.
“Bagaimanapun, apakah terma dan syarat yang akan dikenakan, itu sebenarnya yang kami sedang tunggu daripada arahan atau maklum balas MOF dan khususnya KPDN,” katanya selepas menghadiri pelancaran media Ekspo E-Dagang Rentas Sempadan ASEAN-China 2026 (CBE 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Mengulas kebimbangan peniaga tempatan terhadap kehadiran platform e-dagang dari China yang menawarkan produk pada harga rendah, Teo Nie Ching berkata MCMC turut mengalu-alukan penyertaan peniaga tempatan dalam ekspo berkenaan.
Ekspo itu dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 November ini di KLCC.
Beliau berkata penyertaan itu dapat membuka peluang kepada vendor Malaysia untuk mengeksport produk ke pasaran serantau.
Pada masa sama, vendor luar negara yang mahu memasuki pasaran Malaysia disaran mendapatkan rakan kongsi tempatan yang sesuai serta memastikan produk ditawarkan mematuhi piawaian Malaysia dan selamat untuk pengguna.