
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyasarkan pembinaan 18 lagi tempat teduhan motosikal di beberapa lebuh raya utama bagi meningkatkan keselamatan penunggang serta mengurangkan amalan berhenti atau berteduh di bawah jambatan ketika hujan.
- Tindakan susulan beberapa kemalangan maut, termasuk insiden 25 Jun, mendorong usaha tingkat keselamatan penunggang motosikal.
- LLM mengarahkan syarikat konsesi pasang papan tanda larangan berhenti bawah jambatan dan perluaskan tempat teduhan motosikal.
- Konsesi diwajibkan laksanakan Audit Keselamatan Jalan Raya Peringkat 5 setiap lima tahun oleh juruaudit bebas untuk kenal pasti lokasi berisiko.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, langkah itu menyusuli beberapa kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal yang berhenti atau berteduh di bawah jambatan, termasuk insiden pada 25 Jun lalu yang mengorbankan seorang penunggang.
Beliau berkata, LLM turut mengarahkan syarikat konsesi memasang papan tanda larangan berhenti di bawah jambatan serta memperluaskan penyediaan tempat teduhan motosikal di lebuh raya.
Menurut beliau, sebanyak 218 tempat teduhan motosikal telah dibina sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, menjadikan keseluruhan kemudahan itu meningkat kepada 571 lokasi di lebuh raya seluruh negara.
“Pada tahun 2026, LLM mensasarkan pertambahan sebanyak 18 lokasi baharu lagi seperti di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya KL Barat, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Inisiatif ini dijangka meningkatkan keselesaan dan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal di lebuh raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Thiagarajah Rajagopal di Dewan Negara mengenai statistik kemalangan dan kematian melibatkan penunggang motosikal yang berhenti atau berteduh di bawah jambatan ketika hujan serta langkah keselamatan yang dilaksanakan kerajaan.
Ahmad berkata, statistik menunjukkan satu kemalangan yang mengorbankan dua nyawa direkodkan pada 2022, diikuti satu kemalangan dengan tiga kematian pada 2023. Tiada kes direkodkan pada 2024 dan 2025, manakala tahun ini merekodkan satu kemalangan yang meragut satu nyawa setakat ini.
Selain penyediaan tempat teduhan, syarikat konsesi turut diwajibkan melaksanakan Audit Keselamatan Jalan Raya Peringkat 5 setiap lima tahun oleh juruaudit bebas bagi mengenal pasti lokasi berisiko dan melaksanakan langkah mitigasi untuk meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya, khususnya penunggang motosikal.