Risiko AI dan perang Iran jadi fokus utama Perhimpunan PBB

Foto AFP

NEW YORK, 23 September – Masa depan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta konflik peperangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjadi topik utama yang mendominasi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pimpinan industri AI seperti Sam Altman, Dario Amodei dan Clement Delangue memberi taklimat tergempar kepada Majlis Keselamatan PBB.
  • Insiden serangan siber oleh perisian autonomi OpenAI ke atas Hugging Face mencetuskan kebimbangan global terhadap perkembangan teknologi.
  • Presiden Iran Masoud Pezeshkian dijangka memberi ucapan sulung selepas serangan AS dan Israel, menampakkan ketegangan dalam dewan PBB.
  • Rundingan diplomatik antara Iran dan wakil AS dilapor menunjukkan perkembangan meskipun retorik keras, termasuk pertemuan Abbas Araghchi dengan utusan khas AS.

Isu ancaman AI yang semakin sukar dikawal telah mendorong pimpinan utama industri berkenaan untuk menyampaikan taklimat tergempar kepada 15 ahli Majlis Keselamatan PBB.

Antara tokoh yang hadir termasuk Sam Altman dari OpenAI, Dario Amodei (Anthropic) dan Clement Delangue dari Hugging Face.

Sesi ini diadakan susulan insiden serangan siber baru-baru ini oleh perisian autonomi OpenAI ke atas platform Hugging Face, yang mencetuskan kebimbangan global terhadap kepantasan perkembangan teknologi itu.

Dalam pada itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dijadualkan menyampaikan ucapan sulungnya di PBB sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas negaranya pada Februari lalu.

Peperangan tersebut telah menjejaskan ekonomi dunia secara serius selepas Iran bertindak membalas dendam dengan menyekat Laluan Selat Hormuz.

Ketegangan geopolitik semakin terasa di dewan perhimpunan berikutan kenyataan berbaur gertakan daripada Presiden AS, Donald Trump, yang mengancam untuk memusnahkan Iran.

Kenyataan itu menyaksikan sebahagian besar delegasi Iran bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Bagaimanapun di sebalik retorik keras tersebut, rundingan diplomatik antara kedua-dua belah pihak dilaporkan mula menunjukkan perkembangan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dilapor mengadakan pertemuan dengan utusan khas Trump, Steve Witkoff dan Jared Kushner.

Antara tuntutan utama Tehran termasuk sekatan laut AS ditarik balik serta-merta, pembekuan aset Iran ditamatkan dan peperangan di semua barisan penentangan dihentikan.

Selain krisis Asia Barat dan perbahasan mengenai kawalan AI, yang turut menyaksikan perbezaan pandangan ketara antara Trump dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Perhimpunan Agung PBB hari ini juga dijangka memberi tumpuan kepada konflik perang Rusia-Ukraine melalui ucapan khas oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.