
KEMAMAN, 25 Julai- Dua remaja lelaki termasuk seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dipercayai bertembung dalam kejadian di Jalan Felda Cherul menuju ke Bukit Sagu, Kuantan, semalam.
- Dua mangsa, Muhammad Shafiq Hakimi Mohd Nazri dan Muhammad Hafiey Rifqey Mohd Mahazan, masing-masing berusia 16 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi.
- Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
- Siasatan awal polis mendapati motosikal seorang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, kedua-dua mangsa, Muhammad Shafiq Hakimi Mohd Nazri dan Muhammad Hafiey Rifqey Mohd Mahazan, masing-masing berusia 16 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Muhammad Shafiq Hakimi merupakan pelajar Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Cherul yang mengalami masalah pembelajaran, manakala Muhammad Hafiey Rifqey ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherul.
Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika Muhammad Shafiq Hakimi dalam perjalanan dari Felda Cherul menuju ke arah Bukit Sagu, manakala Muhammad Hafiey Rifqey datang dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Muhammad Hafiey Rifqey dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal seorang lagi mangsa.
Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak beberapa meter sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.