
SEREMBAN, 17 Julai – Persiapan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok telah siap sepenuhnya di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negeri.
- Persiapan penamaan calon selesai di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh Negeri Sembilan.
- Sebanyak 761 petugas ditugaskan untuk mengendalikan proses bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
- Proses penamaan calon bermula pukul 9 pagi, ditutup sejam kemudian, pengumuman calon layak oleh Pegawai Pengurus.
- Sehingga kini 464 borang dibeli, 70 calon telah membayar deposit; calon digalakkan bayar awal untuk elak kesesakan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata seramai 761 petugas ditugaskan bagi mengendalikan proses penamaan calon untuk kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Proses penamaan calon akan bermula pukul 9 pagi dan ditutup sejam kemudian, sebelum pengumuman rasmi calon yang layak bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Datuk Seri Ramlan berkata sebanyak 464 borang pencalonan telah dibeli setakat ini, namun hanya 70 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit.
“Bayaran itu masih boleh dibuat sehingga proses penamaan calon bermula esok, tetapi bakal calon digalakkan menyelesaikannya lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan,” katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau persiapan proses penamaan calon bagi PRN berkenaan di beberapa PPC di negeri tersebut, pagi tadi.
Jelas Datuk Seri Ramlan lagi, semua bakal calon dinasihat hadir awal, manakala penyokong diminta mengelakkan provokasi serta mematuhi undang-undang pilihan raya.
Berdasarkan daftar pemilih SPR yang dikemas kini hingga 4 Jun 2026, Negeri Sembilan merekodkan 889,490 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRN kali ini.
Jumlah itu merangkumi 867,151 pengundi biasa selain 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.